Berada di kedai mamak,
banyak benar bunyi yang berterbangan. Bunyi orang bergelak tawa, cawan
bergeser, senduk dan kuali beradu, pekerja kedai menjerit dari hujung kedai ke
hujung kedai dan selalu juga terselit bunyi kanak-kanak menangis. Jika berada
di dalam akan bingit, di luar pula terpaksa menghadap bau asap rokok. Situasi
ini subjektif sama ada ini damai atau tidak, namun bagi Jamil, aku rasa bagi
dia ini adalah kedamaian kerana mamak adalah rumah ketiganya. Tidak pagi, malam
ada muka Jamil. Atas meja ada 2 cawan. Satu cawan untuk sejam pertama, satu
cawan lagi di sejam yang kedua.
Jamil mengajak aku
bersembang. Aku iyakan saja dan tentu sekali mamak menjadi pilihan tempat
pertemuan kami. Dalam hati aku fikir kenapa tidak pergi ke cafe saja. Sekarang
ini di belakang rumah ada cafe. Bukan mewah mana, mamak pun sama harga dengan
cafe. Lagipun kata Jamil ada hal serius. Lah, jika serius, mengapa tak ke cafe
saja. Boleh aku minta Jamil belanja aku kopi ais.
Jamil buka kotak rokok dan hulur pada aku. Cis
keparat ini yang buat kedai mamak ada berbau tidak enak. Makin rimas pula bila
Jamil kepul-kepulkan asap.
“Nak sebatang boleh ambi”
Kata Jamil. Dia tahu aku tak merokok tapi dia juga tahu manusia boleh berubah.
Dulu ada kawan di sekolah menengah yang jadi pengawas kerjanya potong-potong
rokok rampasan. Nah, sekarang dia yang jadi perokok tegar. Aku perasan ketika
selepas bermain futsal. Tangan yang potong rokok itulah yang pegang rokok.
“Tapi itulah Mat, benda dah jadi” Jamil mengetip
rokok untuk membuang hujung baki rokok."Aku beri Faisal pinjam modal
perniagaan RM 50,000."
"Dan?"
"Dia muatnaik gambar bercuti pergi Koh Samui!"
Aku pura-pura terkejut
kerana aku tak tahu apakah itu Koh Samui. Aku juga tak tahu Jamil ada duit RM
50,000. Dalam fikiran aku sekarang, berfikir seputar adakah Koh Samui itu dalam
Malaysia atau di luar Malaysia? Apakah ianya satu percutian yang mega mahal
seperti Perancis hinggakan aku tidak pernah mendengarnya? Adakah ia sama seperti
baguette yang rupa-rupanya ianya sekadar roti?
Kalau tanya nanti terpampang
benar kebodohan aku. Aku benar-benar terfikir, Jamil kini semakin berada atau aku
yang semakin miskin kerana orang kaya memang begitu. Mereka fikir semua orang tahu
dunia mereka. Menyebut kedai pastry di Semenyih, mengadu mengenai anak
mereka yang tidak mampu berpidato dalam Bahasa Inggeris walaupun sudah membayar
yuran mahal, menceritakan pengalaman berebut membeli telefon baru dan ada juga
yang berkongsi kesedihan tidak dapat membeli tiket konsert yang harganya
mencecah RM700.
Jamil juga serupa.
Dibuatnya Koh Samui itu seperti di Setapak dan mempunyai RM 50,000 itu hal
kebiasaan. Entah-entah sengaja disebutnya jumlah sebesar itu.
“Jadi kau takut dia tipu guna duit itu untuk
pergi melancong ya. Begitu?”
“Isy bukanlah takut sangat. Cuma aku risau dia
tidak fokus. Baru dapat duit sudah pergi melancong. Sepatutnya duit itu guna
untuk berniaga. Memang itu tujuan aku beri duit modal pada Faisal.
“Tapi tak sangka banyak juga ya, boleh tahan
kau”
“Apa yang banyak?”
“Banyak duit kau. Puluh ribu dalam simpanan.”
“Isy apa yang banyaknya Mat.”
Ada saki baki ayam goreng
yang berada atas pingganya, diberi kepada kucing yang mengiau dari tadi. Seorang
wanita miskin membawa anak datang dan meletakkan tisu atas meja sambil menunjukkan
jari satu. Jamil mengeluarkan not kertas RM 5 sambil memberikan tisu semula
kepada wanita itu. Ketika itu juga melihat aku yang tidak memesan makanan,
Jamil paksa aku memesan nasi putih dan ayam bawang. Katanya itu menu spesial. Rugi
tidak cuba.
“Sebut nanti nasi bawang
Jamil. Tahulah mereka tuang banyak mana.”
Sebelum sambung, Jamil menjolokkan
sebatang lagi rokok ke bibir sambil membakar hujung rokok itu.
“Kau lupa ke dulu kita makan
nasi bungkus kongsi dua orang,” Tanya Jamil.
“Apa pula tak ingat. Peluh
kita beratur semata-mata untuk dapat nasi bungkus harga murah. Sudahlah murah,
dikongsi lagi.”
Waktu belajar dulu memang
perit namun tidak pernah mengeluh ketika nasi putih dikongsi dua. Jika haritu
kuah kari dan kicap, maka Jamil yang makan lebih. Jika gilirian aku mengambil lauk
sambal, aku yang dapat nasi lebih. Ikutlah duit poket. Ketika ibu baru kirim
duit, aku yang bayarkan dahulu. Jika elaun kerja sambilan di kedai fotostat sudah
masuk, Jamil pula yang bayar.
“Sebab itu Mat aku ajak
kau sembang.”
Nasi lauk ayam bawang tiba
di meja. Tiba dengan warna minyak dengan bawang yang penuh di atas ayam yang
tersorok di bawah nasi dan bawang. Aku mengacah menjemput Jamil makan sekali
namun dia sekadar mempersilakan aku makan. Aku biarkan saja Jamil bercerita. Fokus
aku sudah bersama nasi.
“Aku nak beri kau RM
100,000 untuk kau mula niaga.”
Mata aku terbeliak sikit
namun enggan menunjukkan reaksi yang melebih. Masih sibuk melahap suap demi
suap.
“Aku tak kisah kau nak niaga
apa. Tapi yang aku tahu kau bukan macam Faisal. Aku beri duit bukan untuk
main-main pergi melancong sana-sini. Kau boleh kawal. Aku kenal sebab kita
sama-sama belajar. Kau pun pernah susah. Kalau tak tahu aku boleh ajar.”
“Tapi Jamil, aku? seratus ribu?"
“Kita dulu pernah susah,
aku sekarang dah senang sikit. Dunia bergerak pantas dan kalau kita sama-sama ada
duit kan bagus.”
Kami sudah berpisah dan aku sudah berada di dalam
kereta. Tangan aku masih lagi berbau kari dan bawang. Melekat aromanya walaupun
sudah dicuci dengan sabun. Tak lupa juga tawaran menarik dari Jamil yang pasti
akan melekat dalam fikiran aku sepanjang minggu. Tadi, ada bincang-bincang sikit
bagaimana nak urus, idea niaga dan sebagainya. Jamil tidak bantah, cuma dia minta
jumpa semula selepas seminggu kerana dia ada urusan sumbangan dengan Yayasan
Ikhlas di Sabah.