10/07/2012

Kurma Pemula

Tags





Bau harum semerbak menebar ke segenap rumah. Kembang kempis hidung qossim menahan bau harum di dapur. Tertanya dia siapa yang menumis. Ini gabungan cengkih, bunga lawing, bawang putih dan merah serta cili boh. Haruman tumisan yang sangat kuat hingga membuatkan beberapa ahli rumah bersin. Bersahutan mereka bersin diselangi suara tahmid memuji tuhan.

“Qossim! Pergilah.. tengok sat. kuat betul bau ni.” Yahya rakan sebilik Qossim merengek sambil sibuk mencari tisu untuk mengelap hingus akibat bersin berlebihan.

Segeralah Qossim menuju ke dapur sambil diiringi bunyi bersin dari rakan serumah yang lain. Tidak tahu mengapa Qossim tidak terkesan dengan bau tumisan yang kuat itu. Mungkin ada datuknya berdarah india yang kuat makan rempah, siapa tau.

Dalam masa yang sama,dia terdengar bunyi rancak senduk bergesel dengan kuali. Apa yang berlaku di dapur?

Wah, Anas luthfi bin Zakaria, sedang memasak di dapur? Bukan dia pernah mengaku bahawa dia tidak pandai masak? Bahkan dia baru sahaja sampai ke Mesir minggu lepas. Masakan sudah berani menumis sebegini?

“Ana tak pandai masak la bang. Kenapa bawang ni macam banyak je?” Anas bertanya sejurus dia melihat Qossim ke dapur.

Qossim masih tergamam terkaku melihat Anas memakai apron sambil memegang senduk. Nampak janggal pula apabila seorang budak bandar seperti  Anas bergaya sebegitu. Ah, memang gaya tidak pernah masuk dapur. Pelik.

“Masak apa?” Qossim cuba melayan Anas

“Ayam masak kurma je bang. Ini yang paling senang la rasanya” Anas menjawab sambil sibuk mengacau tumisan. “lepas tumis ni kena masukkan apa bang? Ayam atau kurma dulu?

“hmm..”

Qossim bergaya pakar. Menunjukkan rasa ‘abang’ dengan meneliti ruang dapur dan memeriksa apa yang patut. Ayam sudah tersedia namun bancuhan kurma tiada dan kentang masih belum disiapkan.

“Nak masak kurma ikut orang. Tiada resepi khusus.” Qossim berkata sambil memberi paket kurma kepada Anas.  “ enta amek ni, enta bancuh dengan air dan masukkan lepas tumis”

Anas mengambil paket kurma sambil sambung bertanya “Ok lepas tu apa?”

“Enta cari sendiri.. senang je masak kurma.” Qossim membalas

Geram pula dengan Qossim. Tadi seperti ingin tolong, sekarang suruh sendiri pula.

“Jangan macam itu bang. Saya ini baru masuk dapur. Kalau hangus macamana? Kalau terlebih garam macamana? Ayam tak masak la, tawar lah.. ana tak nak sampai abang tak makan nanti.”

Qossim tersenyum sahaja mendengar komen.  Sambil membetulkan cermin matanya, dia meneruskan kalamnya.

“enta jangan takut buat salah. Layan je.. kalau salah, salah la.”

Hampir jatuh paket kurma apabila Anas mendengar kalam Qossim. Begitu kah sebenarnya?

“Tak kan lah macam itu bang. Tak berani ana.” Anas berkerut. Bukan susah sangat tolong masak kurma.

“Ada satu konsep yang anta kena belajar. Umum untuk keberadaan enta di Mesir, khusus untuk masak kurma hari ini.”

Sekali lagi dia membetulkan cermin matanya.

“Mesir adalah Negara yang dihuni oleh orang-orang berani. Enta kena berani buat silap, berani mencuba. Jangan takut buat salah. Terus bergerak dan jangan terlalu mengharap pada senior-senior.”  

“Kalau kurma ni, enta nak masuk asam jawa pun boleh kalau enta nak. Kalau tak sedap tidak mengapa, cuba lagi minggu depan.”

Anas hanya mampu menelan semua yang ditutur oleh Qossim. Dari masak kurma sahaja boleh pergi sejauh ini. Tergamam dia melihat abang Qossim. Hebat sungguh.

“Dan jangan buat muka comel macam tu. Mesir bukan tempat untuk comel-comel tahu.”

Maka bermulalah kembara Anas luthfi bin Zakaria di Mesir. Dari masak kurma dia melangkah dengan penuh berani mencuba semua benda. Doakan Anas dan semua pelajar baru terus berani di Bumi Mesir ini. Berani mencuba dan jangan  lah terlalu mengharap!


  

Seorang penuntut di Universiti Al-Azhar, Mesir. Suka menulis cerita pendek dan kontot demi memandaikan ummah.

2 komentar

Dengar cerita, ada orang masak kurma letak satu paket besar. Mungkin setelah membaca post anta.

This comment has been removed by the author.