10/21/2012

Pak Latip yang 'keras kepala'

2 minggu mengkaji Hasan Al-Banna di Mesir
(Nawfal, Pak Latip, Cikpuan Azzah AR)  





Sejujurnya, Novel sejarah  bukanlah sebuah genre yang saya minati. Malah saya tidak pernah membaca mana-mana novel tulisan Tuan Abdul latib bin latip( mesra dengan Pak latip) . Namun selepas berkenalan dengan Pak Latip, saya ada membelek novel beliau. Sekali lagi saya berkata jujur, memang karya yang sangat menarik, mudah dan sesuai dengan kebanyakan rakyat Malaysia. 

Saya gemar mengistilahkan seseorang yang hebat dengan perkataan 'gila'. Bukan bermaksud sawan tetapi itu adalah sebuah definisi bagi seorang manusia yang sangat hebat, luar dari kotak, kurang tidur, seolah sempurna dan banyak lagi. Bagi saya, Pak Latip adalah salah seorang 'si-gila' . Umum bagi semua orang dan khusus bagi penulis, bakal penulis dan sesiapa yang berhajat besar ingin berdakwah dalam seni pena ini . 

Lebih 30 buah buku dihasilkan semenjak tahun 2007, ada antara buku diulangcetak sebanyak 15 kali, dan sudah ada idea dan sumber untuk menulis 5 buah novel lagi. Novel paling cepat ditulisnya adalah dua minggu sahaja. Turki sahaja sudah 3 kali dijelajahnya. Tidak termasuk Iran, Mesir, Uzberkistan  dan banyak lagi. Semua ini dilakukan ketika usia beliau sekarang 58 tahun. 


Adakah ini tidak cukup gila?


Antara yang paling saya kagumi adalah bagaimana Pak latip berminat untuk menulis novel-novel sejarah dari pejuang islam tanah melayu seperti Tok Janggut dan Siamang Gagap ke tokoh islam yang terkenal seperti Salahuddin Ayyubi dan Alfateh hinggalah musuh islam seperti Mustafa Kamal dan Genghis Khan. 

Beliau menukar genre kerana merasakan novel-novel sastera yang diangkat oleh sarjana sastera tidak dibaca dan tidak terjual. Ada satu novel yang mendapat anugerah tidak habis dijual walaupun hanya 3000 buah sahaja yang dicetak. Apakah cukup jika dari sudut sastera sahaja yang kenyang tetapi dari sudut penyampaian dakwah kepada pembaca tidak sampai? 


Akhirnya beliau menemui kepuasan dakwah dengan novel-novel sejarah. Katanya, ramai yang terkesan dengan tulisan beliau dari sudut akademik juga akhlak, dan pembinaan peribadi. Mudahnya, dakwah lebih sampai dengan novel sebegini. Rakyat Malaysia yang kebanyakan dapat membaca novel yang mudah, menarik sebegini.


Namun, menulis novel sejarah bukanlah satu kerja yang mudah, apatah lagi seorang yang berumur seperti beliau. Duit dan tenaga terpaksa dikeluarkan untuk menjaga ketepatan dan keaslian sumber. Maka, mengembaralah beliau ke merata tempat untuk proses pengkajian sejarah. Cukup mustahil jika tiada keazaman yang padu dan jiwa yang besar. Bagi saya, sangat layak bagi seorang seperti beliau, duduk di rumah menjaga cucu sahaja.


Tetapi inilah contoh penulis 'keras kepala' . Tiada apa yang boleh halang penulis tegar sebegini. Beliau terus bersemangat hingga ke harini untuk terus berdakwah melalui penanya. Saya bukanlah seorang yang meminati penulisan sejarah seperti Pak Latip, namun keazamannya, semangat, keikhlasan beliau menjadi batu loncatan untuk saya khusus dalam bidang penulisan dan umum sebagai pedoman hidup saya. Masih kuat walau umur hampir mencecah 60-an.


Saya doakan Pak Latip diberi kekuatan untuk menyambung tugasnya ini. 


Sangat hebat! sangat gila!



Seorang penuntut di Universiti Al-Azhar, Mesir. Suka menulis cerita pendek dan kontot demi memandaikan ummah.