11/23/2023

Penggali kubur ke Gaza





 
Dalam kapal terbang, ada beberapa orang yang dalam penerbangan yang sama menuju ke lapangan terbang Cairo sebelum mereka semua masuk ke Palestin melalui pintu Rafah.
 
Salah seorangnya Malik, beliau adalah seorang penggali kubur. Tubuhnya kecil, matanya tidak nampak dan umurnya pula sudah lanjut. Dari tangannya yang berurat sudah boleh teka jenis pekerjaan yang kerap menggunakan tenaga empat kerat. Uratnya timbul-tmbul dan tona kulitnya pula coklat gelap.
 
Malik tidak pernah menaiki kapal terbang sekalipun untuk ke Mekkah. Penggali kubur bukanlah orang senang dan meski Malik ada menyimpan, duit itu tetap akan terguna untuk masa kecemasan. Tujuan dia di udara adalah satu iaitu ke Gaza dan ke Masjid al-Aqsa.
 
"Mengapa seorang penggali kubur yang mata separuh katarak mahu ke Gaza? mahu gali kubur sendiri di sana? atau Tuan tidak punya keluarga di Malaysia?"
 
Penemuduga itu bertanya kepada Malik. Soalan sedikit kasar namun sebenarnya tidak. Itu adalah soalan paling inti yang harus dijawab dengan tuntas oleh semua orang yang mahu ke Gaza.
 
Malik jawab, "Kalau ramai yang mati siapa yang mahu tanam mayat?"
 
"Syahid.. Jenazah.. Kebumi." Penemuduga membetulkan Malik.
 
"Maaf, Ramai yang syahid siapa yang mahu kebumikan jenazah?"
 
"Sudah ada ramai di sana. Tahulah mereka untuk kebumikan jenazah yang syahid. Kalau beribu bom mereka boleh tembak Israel, tak kan mereka tidak mampu mengurus jenazah. Perkara mudah."
 
Mata penemuduga itu sangat fokus pada Malik. “Jadi mengapa awak mahu ke sana?”
 
Malik teringat-ingat kisahnya dengan penemuduga itu. Dia sudah lupa rupa penemuduga itu tetapi dia lebih teringat soalan penting yang ditanya. Malik tidak menafikan bahawa soalan itu sukar. Namun oleh kerana bulatnya niat Malik, soalan itu semudah menyanyi abjad sahaja. Dia hanya perlu jujur dan biar hatinya menjawab tanpa ragu-ragu.
 
Atas kapal terbang yang tergoyang-goyang itu, (mereka menaiki pesawat C-130 yang kerap dipanggil ‘Charlie’ dan bukannya kapal terbang komersial) seorang di sebelah Malik sudah terlena. Mereka sudah bersembang sejak di lapangan terbang lagi. Malik dapat tahu dia sudah berkahwin dan terus dia bertanya mengapa mahu ke Palestin juga walaupun sudah berkahwin.

Ternyata Malik hanya tersenyum apabila mendapati jawapan mereka lebih kurang sama. Jawapan yang mudah tanpa falsafah yang tinggi. Cuma Malik memang mahu tau apa tugasnya di Palestin kelak. 
 
“Saya mahu mereka mendapat air yang bersih. Memanglah saya seorang ejen penapis air tetapi saya adalah jurutera. Disebabkan sukar mendapat kerja sebagai jurutera malah gajinya juga tidak setanding kepenatan kerja, saya jadilah ejen penapis air. Pakcik jangan pandang sebelah mata, saya belajar di Jepun tau.”
 
Malik sekadar mengangguk. Dia tak pun pandang enteng pada ejen penapis air itu kerana Malik sedar dia bukan orang besar.
 
“Saya pergi memang niat nak bantu. Tetapi sebenarnya orang Palestin sudah lebih berteknologi daripada kita. Setiap hari-hari mereka adalah perjuangan dan saya tak rasa isu air adalah isu yang besar. Saya rasa lah nanti saya yang belajar dari mereka walaupun niat saya ikhlas nak bantuk mereka”
 
Ejen penapis air itu terus lena. Malik yang tidak boleh tidur terus memerhati orang di sekeliling. Segala macam profesyen ada atas kapal terbang itu. Orang seni seperti penulis dan penerbit filem, buruh binaan, profesor, orang bisu, malah artis komedi juga ada. Dia tidak sempat bersembang dengan semua namun dia hanya meneka dalam hati apa misi mereka. Mungkin artis komedi itu tugasnya menjadi pelakon, ataupun tugasnya menghiburkan kanak-kanak di sana. Mungkin juga tugas artis komedi itu untuk mengalih perhatian tentera Isreal yang kemudian terleka dan memudahkan tentera al-Qossam menyerang mereka. Malik tertawa sendiri membayangkan kemungkinan yang ada. Tidak sangka atas awan ini Malik mampu membuat lucu kepada diri sendiri.  
 
Malik teringat bunyi hentakan cop ketika penemuduga meluluskan permohon Malik. Malik diminta menandatangani beberapa borang seperti borang insuran, akujanji patuh arahan, akujanji tidak berpaling tadah dan beberapa borang lain yang melibatkan harta pusaka dan pasca sepulangnya dari Palestin.
 
Telinga Malik juga terngiang-ngiang mendengar suara orang menjerit dan menangis kerana permohonan mereka ditolak. Benarlah, semuanya adalah rezeki dan semua yang pergi adalah pilihan Allah.
 
“Baik. Nanti bila Tuan dah sampai sana pastikan berbakti sepenuh hati. Saya sendiri tidak dapat pergi, jangan sia-siakan peluang ini.”
 
Malik tersenyum dan terus menerus mengucap tahmid. Tiadalah dirinya menyangka bahawa penggali kubur seperti dia mendapat peluang ke Gaza. Jawapan yang diberi bukanlah maha hebat. Dia pula bukanlah bertubuh sasa. Hafal al-Quran pula tidak banyak.
 
Jadi mengapa Malik dapat ke Gaza?

Malik hanya cerita bahawa semenjak serangan Taufan al-Aqsa, purata galian kuburnya semakin berkurangan. Biasanya 15 bulang sehari, ini 5 lubang sahaja. Semakin hari tangannya kekok memegang cangkul, cepat termenung dan kurang makan. Malik pandang pokok dan bertanya kenapa aku masih di Kuala Selangor ini? dia bertanya Matahari, kenapa bukan dia yang di sana?
 
Ketika Malik bersembang dengan ejen penapis air itu, rupanya lebih kurang dengan dia.
 
“Saya banyak murung. Saya banyak lihat sekeliling. Sana Palestin di sini kita buat apa? Mengapa aku di sini lagi? Sana kan Palestin.” Lebih kurang begitulah yang Malik ingat jawapan ejen penapis air itu kepada penemuduga.
 
Atas kapal terbang itu, Malik masih belum kantuk dalam kapal yang masih bergegar. Ada yang tidur, ada yang membaca al-Quran, ada yang bersembang, ada yang seperti dia termenung melihat sekeliling. Banyak perkara yang Malik fikir. Malik melihat tangannya yang coklat legam. Entah mampu dia mengorek tanah Palestin yang kurang hujan. Apakah dia lebih banyak tanam tentera al-Qossam atau tentera Israel? Atau berapa lama dia di sana? Tiada jawapan yang pasti untuk Malik. Bersama takdir Tuhan adalah hanya tangan kerepot itu sahaja.  
 
Semua mereka dengan latar belakang yang berbeza, kemahiran yang berbeza namun yang sama adalah satu iaitu tujuan. Palestin. 
 

 

 


8/24/2023

Terlalu, Terlebih Merdeka




Terlalu


Menjadi nakal dek kau terlebih merdeka

Hidup menunggang umur,

mengeldai merdeka demi merdeka

Tersembam...

Kau tanya manakah kau merdeka?

Mengemis atas mayat merdeka

Merengek macam budak mati ibu, kau yatim merdeka

Luka jatuh makin tebal

Bukan kerana jatuh, tetapi

Kau terlalu merdeka

Menjadi basi

Merdeka kau sudah basi. Basi.

8/10/2023

Nasi Lemak Merdeka

 



Dia budak darjah 4. Tidaklah miskin, tidaklah kaya. Cukuplah sekadar ada. Dia tidak meminjam pensel atau duit dari kawannya walaupun penselnya sudah pendek. Beg berjenama Mydin. Tudung yang comot tu biasalah perangai budak-budak. Kuning sana, hitam sini. Tudung baru atau lama, sama saja tetap juga bertompok. 

Dia budak perempuan yang berselera tinggi. Sebagai budak perempuan darjah 4, dia mampu habiskan dua bungkus nasi lemak lauk ayam goreng. Besar selera dia.

Cuma ketika pulang dari sesi lawatan sekolah ke Muzium negara baru-baru ini, semua budak perempuan beratur di kedai runcit korea tersohor dan membeli itu ini kecuali Amirah. Aku malah menegur. Tidak suka atau tidak ada duit?

"Amirah makan nasi je cikgu.. Mana makan macam yang ini." Kata kawan-kawannya yang lain.

Amirah senyum nampak gigi. Giginya bertompok seperti tudungnya juga.

Tiba-tiba hari ini, ya hari ini pada bulan 8 ini, ada sebuah bungkusan nasi lemak di meja saya dengan nota. 'Untuk Cikgu Munirah. Selamat Hari Merdeka'.

Tulisan budak-budak dengan nama Amirah di bawah nota. Ah hairan. Mengapa Amirah memberiku nasi lemak tanpa disangka-sangka. Bukan hari jadi aku, malah jauh sekali dari hari guru.

Ketika rehat aku terjah Amirah yang sedang makan nasi lemak dengan bungkusan yang sama seperti yang dihadiahinya.

"Itu ibu saya yang masak, saya tolong sikit-sikit. Saya tuang nasi, dan gaul sambal saja. Saya tahu cikgu suka nasi macam saya. Jadi saya tuang banyak sikit untuk cikgu."

Suka benar dia dengan nasi lemak. Terlalu menikmati. Satu suapan penuh dengan putih nasi, merah sambal, kacang yang berkilat serta oren ayam yang menonjol.

"Nasi lemak sedap kan cikgu. Nenek saya suka nasi lemak, atuk saya suka nasi lemak, mak ayah suka nasi lemak. Kita semua suka nasi lemak. Nasi lemak sampai bila-bila!"

Aku duduk depan Amirah. Makan sekali dengan dia. Tak putus cerita dia bangun lebih awal untuk tolong ibunya. Malah sempat mengumpat yang nasi lemak neneknya lebih sedap dari maknya. Katanya lagi, nanti dia nak belajar buat nasi lemak supaya boleh jual. Lagi, dia takut nanti tiada orang akan menjual nasi lemak, sebab itu dia nak buat nasi lemak yang paling sedap. Agar semua orang boleh berbangga dengan nasi lemak dan bukan makanan negara luar. 

Sempat aku baca sekilas pandang nota Amirah yang diselitkan di lipatan nasi lemak hadiahnya.

'Untuk Cikgu Munirah. Selamat Hari Merdeka'.


8/08/2023

Kejantanan Merdeka





"Kan bulan ini bulan merdeka, jadi kau perlu mula merokok. Kesian aku tengok kau."

Sama ada aku perlu ambil atau tolak, aku tidak tahu. Matanya kelihatan ikhlas mahu membantu dan nampak banyak usahanya dalam bantu aku sepanjang satu minggu di sini.

"Kau kena tahu, hidup dunia ni keras. Kalau tak keras, paling-paling kena tunjuk keras. Mana boleh kau baca buku saja. Tak keras. Atau kau gabung keduanya, rokok dengan buku. Baca buku sambil merokok. Baru ada keras sikit."

Batang rokok itu dikongi sesama mereka. Selepas seorang hisap giliran kawan di sebelahnya pula. Mereka bukan tidak baik, mereka tolong aku. Kalau bukan sebab mereka, mungkin aku dibuli tidak sudah seperti hari pertama.

Giliran aku tiba. Orang yang berada di kiri aku mengacau bahu aku dan menghulur rokok. Rokok itu aku pegang buat kali pertama. Aku kepit dengan dua jari seperti kebanyakan orang yang aku lihat. Hanya dia sebelah aku yang memerhati tanpa sebarang reaksi. Mereka yang lain tidak endah dan sembang seperti biasa.

"Kau sedutlah. Aku nak tolong kau je. Aku dulu pun lembik. Aku nak jadi macam lelaki zaman merdeka dulu yang kuat-kuat. Gagah. Dari jauh sudah nampak jantan."

Rokok sudah di bibir. Bau asap terasa sangat dekat. Seperti hidungku pula yang dicucuh rokok.

Loceng berbunyi dan seraya itu juga tapak kaki warden kedengaran. Kami semua bertempiaran ke arah yang berbeza. Nampak aman dari warden, aku sekadar menapak dengan laju ke kelas. Dalam kesamaran cahaya antara blok, aku pandang tangan aku dan dekatkan ke hidung. Ada bau itu. Bau kuat diidamkan para lelaki. Bau dari rokok yang telah aku buang sebelum loceng berbunyi lagi.

Ah, timbul pula khuatir. Adakah aku mengecewakan nenek moyang aku yang gagah belaka memerdekakan negara kerana tidak merokok? Tidak jantankan merdeka aku?


7/31/2023

RM 100,000


 



Berada di kedai mamak, banyak benar bunyi yang berterbangan. Bunyi orang bergelak tawa, cawan bergeser, senduk dan kuali beradu, pekerja kedai menjerit dari hujung kedai ke hujung kedai dan selalu juga terselit bunyi kanak-kanak menangis. Jika berada di dalam akan bingit, di luar pula terpaksa menghadap bau asap rokok. Situasi ini subjektif sama ada ini damai atau tidak, namun bagi Jamil, aku rasa bagi dia ini adalah kedamaian kerana mamak adalah rumah ketiganya. Tidak pagi, malam ada muka Jamil. Atas meja ada 2 cawan. Satu cawan untuk sejam pertama, satu cawan lagi di sejam yang kedua.


Jamil mengajak aku bersembang. Aku iyakan saja dan tentu sekali mamak menjadi pilihan tempat pertemuan kami. Dalam hati aku fikir kenapa tidak pergi ke cafe saja. Sekarang ini di belakang rumah ada cafe. Bukan mewah mana, mamak pun sama harga dengan cafe. Lagipun kata Jamil ada hal serius. Lah, jika serius, mengapa tak ke cafe saja. Boleh aku minta Jamil belanja aku kopi ais.


Jamil buka kotak rokok dan hulur pada aku. Cis keparat ini yang buat kedai mamak ada berbau tidak enak. Makin rimas pula bila Jamil kepul-kepulkan asap.


“Nak sebatang boleh ambi” Kata Jamil. Dia tahu aku tak merokok tapi dia juga tahu manusia boleh berubah. Dulu ada kawan di sekolah menengah yang jadi pengawas kerjanya potong-potong rokok rampasan. Nah, sekarang dia yang jadi perokok tegar. Aku perasan ketika selepas bermain futsal. Tangan yang potong rokok itulah yang pegang rokok.


“Tapi itulah Mat, benda dah jadi” Jamil mengetip rokok untuk membuang hujung baki rokok."Aku beri Faisal pinjam modal perniagaan RM 50,000."


"Dan?"


"Dia muatnaik gambar bercuti pergi Koh Samui!"


Aku pura-pura terkejut kerana aku tak tahu apakah itu Koh Samui. Aku juga tak tahu Jamil ada duit RM 50,000. Dalam fikiran aku sekarang, berfikir seputar adakah Koh Samui itu dalam Malaysia atau di luar Malaysia? Apakah ianya satu percutian yang mega mahal seperti Perancis hinggakan aku tidak pernah mendengarnya? Adakah ia sama seperti baguette yang rupa-rupanya ianya sekadar roti?


Kalau tanya nanti terpampang benar kebodohan aku. Aku benar-benar terfikir, Jamil kini semakin berada atau aku yang semakin miskin kerana orang kaya memang begitu. Mereka fikir semua orang tahu dunia mereka. Menyebut kedai pastry di Semenyih, mengadu mengenai anak mereka yang tidak mampu berpidato dalam Bahasa Inggeris walaupun sudah membayar yuran mahal, menceritakan pengalaman berebut membeli telefon baru dan ada juga yang berkongsi kesedihan tidak dapat membeli tiket konsert yang harganya mencecah RM700.


Jamil juga serupa. Dibuatnya Koh Samui itu seperti di Setapak dan mempunyai RM 50,000 itu hal kebiasaan. Entah-entah sengaja disebutnya jumlah sebesar itu.  


“Jadi kau takut dia tipu guna duit itu untuk pergi melancong ya. Begitu?”


“Isy bukanlah takut sangat. Cuma aku risau dia tidak fokus. Baru dapat duit sudah pergi melancong. Sepatutnya duit itu guna untuk berniaga. Memang itu tujuan aku beri duit modal pada Faisal.


“Tapi tak sangka banyak juga ya, boleh tahan kau”


“Apa yang banyak?”


“Banyak duit kau. Puluh ribu dalam simpanan.”


“Isy apa yang banyaknya Mat.”


Ada saki baki ayam goreng yang berada atas pingganya, diberi kepada kucing yang mengiau dari tadi. Seorang wanita miskin membawa anak datang dan meletakkan tisu atas meja sambil menunjukkan jari satu. Jamil mengeluarkan not kertas RM 5 sambil memberikan tisu semula kepada wanita itu. Ketika itu juga melihat aku yang tidak memesan makanan, Jamil paksa aku memesan nasi putih dan ayam bawang. Katanya itu menu spesial. Rugi tidak cuba.


“Sebut nanti nasi bawang Jamil. Tahulah mereka tuang banyak mana.”


Sebelum sambung, Jamil menjolokkan sebatang lagi rokok ke bibir sambil membakar hujung rokok itu.


“Kau lupa ke dulu kita makan nasi bungkus kongsi dua orang,” Tanya Jamil.


“Apa pula tak ingat. Peluh kita beratur semata-mata untuk dapat nasi bungkus harga murah. Sudahlah murah, dikongsi lagi.”


Waktu belajar dulu memang perit namun tidak pernah mengeluh ketika nasi putih dikongsi dua. Jika haritu kuah kari dan kicap, maka Jamil yang makan lebih. Jika gilirian aku mengambil lauk sambal, aku yang dapat nasi lebih. Ikutlah duit poket. Ketika ibu baru kirim duit, aku yang bayarkan dahulu. Jika elaun kerja sambilan di kedai fotostat sudah masuk, Jamil pula yang bayar.


“Sebab itu Mat aku ajak kau sembang.”


Nasi lauk ayam bawang tiba di meja. Tiba dengan warna minyak dengan bawang yang penuh di atas ayam yang tersorok di bawah nasi dan bawang. Aku mengacah menjemput Jamil makan sekali namun dia sekadar mempersilakan aku makan. Aku biarkan saja Jamil bercerita. Fokus aku sudah bersama nasi.


“Aku nak beri kau RM 100,000 untuk kau mula niaga.”


Mata aku terbeliak sikit namun enggan menunjukkan reaksi yang melebih. Masih sibuk melahap suap demi suap.


“Aku tak kisah kau nak niaga apa. Tapi yang aku tahu kau bukan macam Faisal. Aku beri duit bukan untuk main-main pergi melancong sana-sini. Kau boleh kawal. Aku kenal sebab kita sama-sama belajar. Kau pun pernah susah. Kalau tak tahu aku boleh ajar.”


“Tapi Jamil, aku? seratus ribu?"


“Kita dulu pernah susah, aku sekarang dah senang sikit. Dunia bergerak pantas dan kalau kita sama-sama ada duit kan bagus.”


Kami sudah berpisah dan aku sudah berada di dalam kereta. Tangan aku masih lagi berbau kari dan bawang. Melekat aromanya walaupun sudah dicuci dengan sabun. Tak lupa juga tawaran menarik dari Jamil yang pasti akan melekat dalam fikiran aku sepanjang minggu. Tadi, ada bincang-bincang sikit bagaimana nak urus, idea niaga dan sebagainya. Jamil tidak bantah, cuma dia minta jumpa semula selepas seminggu kerana dia ada urusan sumbangan dengan Yayasan Ikhlas di Sabah.

6/21/2023

Nasi Minyak dan Jenazah

 




Aku memasuki masjid ketika jamaah selesai solat Asar, betul-betul imam memberi salam. Niat aku untuk membuat jemaah baru terhenti apabila imam mengumumkan ada solat jenazah dan pada ketika itu juga ramai ahli kariah masjid berbondong ke bahagian belakang masjid. Mereka berebut untuk membawa jenazah yang berada di belakang untuk ke hadapan.

 

Aku yang sekadar melihat jenazah diusung, berbisik kepada kawan aku, Qat yang turut sama menunggu solat, "Dia sempat Ramadan pertama. Untunglah, Alhamdulillah."

 

Qat sekadar mengangguk. Untung tak untung, itu rezeki dia yang diurus Tuhan. Mungkin tidak diberi peluang hingga akhir Ramadan tetapi sempat menjengah seketika sudah cukup untung.

 

Usai solat jenazah, aku ingin terus bangun untuk menunaikan solat asar. Tetapi ditangguhkan sebentar dek semangatnya imam menyampaikan tazkirah.

 

"Aku tak berniat nak bercakap banyak, cukuplah dua isi penting di petang ni..."

 

Jujurnya tidaklah menjangkakan imam akan ‘menyentap’ dengan kalam tazkirah dia. Aku sangka sekadar selingan di petang selepas asar kerana solat jenazah bukanlah suatu yang asing. Kadang kala, setiap waktu solat akan ada jenazah untuk disolatkan.

 

"Sebelum apa-apa, sebelum pergi jauh.. perkara yang aku nak sampaikan adalah PELUANG (fursoh) dan perkara kedua adalah bagaimana nak mengambil ganjaran pada setiap peluang dalam Ramadhan."

 

Perkataan 'peluang' menyentap aku. Entah mengapa. Terasa pula. Mungkin kerana jenazah yang diusung betul-betul di depan mata aku. Jenazah yang tidak sempat untuk berbuka puasa hari pertama Ramadannya pada tahun ini. Mungkin juga aku baru tersedar peluang besar yang aku ini muda, namun diberi hidayah dan kesedaran untuk berpuasa, qiam dan tilawah berjuzuk-juzuk. Lagi, aku di Mesir, cantik suasananya yang sukar dapat di tempat lain.

 

Peluang demi peluang. Peluang kesedaran, peluang nikmat muda dan peluang merasai suasana Ramadan di Mesir.

 

Petang-petang begini, Allah menyapa aku di masjid ini dengan perkataan 'fursoh' (peluang). Sapaan Allah rambang sifatnya. Waktu yang rawak namun kenanya tepat.

 

“Weh Hatem..” Qat sapa bahu dari belakang. Dagunya digerakkan tanda mengajak aku pulang. “Jangan lupa, kau masak berbuka petang ni. Nasi minyak pula tu”

 

Aku senyum senget pada Qat.    

Sebelum kami keluar dari masjid, datang satu lagi jenazah untuk disolatkan. Jemaah yang masih dan juga kami melaksanakan solat jenazah sebagai menunaikan hak kami kepada si mayit. Ini juga sebahagian dari peluang yang Allah beri kepada kami. Siapa saja dapat solat jenazah 2 kali selepas asar bukan?

 

Selepas pulang dari masjid, kami singgah di kedai ayam dan sayur. Ayam untuk masak merah belum dibeli serta acar timun dan nenas. Berbuka hari pertama puasa harus nampak rajin.

 

Qat sapa lagi aku dari belakang. “Eh, Kau masak untuk sahur juga kan?”

 

“Eh betul juga ya. Dua dua aku.”

 

“Alang-alang di luar, baik kau beli sekali barang untuk masak sahur”

 

“Kau nak apa”        

“Ermm. Spageti lah.” Balas Qat laju.

 

‘Cet, silap pula tanya, kan dah dia jawab spageti.”

 

“Kuah merah ya. Bolognese.


Berpetang-petang di hari pertama Ramadan. Satu kali ‘disapa’ imam dan jenazah. 2 kali ‘disapa’ oleh Qat yang tidak sabar dengan nasi minyak dan spageti. 

 

Sapaan itu semuanya peluang. Sapaan yang dihadirkan Tuhan sama ada imam ataupun Qat.  

 

 

5/09/2023

Rendang tidak akan sama.. 1



“Rendang awak tak sama macam rendang mak..”

 

Tentang raya, 15 tahun dahulu, aku teringat kata-kata ayah pada ibu. Aku kecil, berumur 11 tahun namun peristiwa saat ayah melafazkan kata ini kepada ibu aku rasa sangat jelas. Situasi, emosi dan kata-kata ayah masih segar, hingga mampu menjadi memori yang tersemat hingga ke harini.

 

Mengapa?

Mungkin kerana ia melibatkan rendang, lauk kegemaranku ketika raya menjelma. Namun rendang bukan sebarang rendang. Rendang itu adalah rendang ibuku yang jika diizinkan Tuhan menyentuh lidah anda di pagi syawal, maka lengkaplah syawal anda. Cukuplah takbir dan rendang ibu menjadi Hari Raya bagi aku.        

Rendang milik ibu sepenuhnya dan tiada siapa boleh ganggu kerana kami sekeluarga tidak mahu randang yang 'bercampur air tangan'. Kami mahu rendang itu adalah rendang ibu. Bukan rendang 3 suku dengan aku atau kakak yang membantu.        

Aku, kakak dan ayah pula akan menolong tugas lain seperti membawang, menyediakan kuah kacang dan sambal sotong. Ayah akan sibuk dengan ketupat dan sup tulang. Ibu pula akan menjadi ketua chef yang tugasnya merasa, menyusun, mengarah dan juga membebel khususnya kepada ayah yang lambat sekali menganyam ketupat. Padahal ibu tidak secekap ayah dalam menganyam tetapi berani saja membebel pada ayah menyuruh agar segera anyam, berhati-hati dengan kuantiti beras serta menjaga air rebusan ketupat.        

Namun 15 tahun dahulu, aku masih ingat ibu menyediakan rendang sambil menangis. Aku hairan kerana ibu jarang menangis ketika memasak. Apatah lagi ketika memasak rendang. Dahulu ketika aku kecil, aku tidak tangkas menolong ibu dan lebih kepada menyibuk daripada membantu. Aku hanya memerhati.

 

Aku masih ingat ketika itu 23 Ramadan, aku baru pulang bermain dengan kawanku di padang. Saat aku memakir basikal di sebelah pintu rumah aku terbau bau harum. Bau segala macam jenis herba yang sangat semerbak. Bau yang terbang berat berisi bau santan dan kunyit dibawa bersama pedas cili wangi bawang memenuhi rumahku hingga terbawa ke luar.

 

“Ibu wanginya.. masak apa?” Tanya aku yang lencun selepas pulang bermain bola.


“Rendang, sayang.”

 

“Eh, raya esok ke?” aku balas dan ibu hanya senyum sambil mengacau agar tiada kerak terbentuk.

 

“Tapi wanginya bu. Tak sabar nak makan”    

“Ya.. Rendang dah wangi. Kamu tu bila nak wangi? Masam betul, lekas mandi nak dekat waktu berbuka.”

Giliran aku untuk senyum dan berlari ke bilik aku dan bersegera dengan baju melayu. Ayah sudah berada di dapur walau masih berbaju kerja membantu ibu menyusun juadah berbuka

 

“Ayah.. ayah, ibu masak rendang. Bau macam raya lah.” Jerit aku

 

Ayah membaca doa dan kami sekeluarga mengaminkan. Sejujurnya tiadalah aku mendengar barang sedikit doa ayah. Mata aku tidak lari dari rendang Ibu. Rendang di hadapan aku itu seakan berjoget memakai baju kuning yang bekerlip. Sungguh menawan, cantik dan meminta untuk dijamah.

 

“Ahhhh sedap ibu. Sedapnya”

 

Ayah dan ibu ketawa melihat aku yang seronok menjamah rendang. Sebenarnya aku ditegur oleh ayah kerana mengambil rendang dahulu daripada kurma. Jadi, aku makan kurma satu gigit dan terus mengambil rendang ibu yang sudah aku letak di pinggan aku ketika ayah membaca doa.

 

“Ya tau sedap, jangan gelojoh. Macamlah lepas ini rendang ibu kau tu nak lari. Rendang tiada kaki..”

 

Aku tergelak lucu dengan lawak ayah rendang tiada kaki. Bukan aku takut dia lari. Aku mahu makan ketika rendang ini masih panas, nasi juga panas serta suasana berbuka bersama ibu dan ayah. Ketika aku sudah hampir habis, ayah baru saja mencedok nasi dan rendang. Sebelum itu ayah bersembang dengan ibu sambil menjamah kuih dan menyegarkan tekak dengan kopi panas. Itu ayah, aku pula sudah dua ketul rendang ayam dan menunggu giliran untuk menambah.

 

Ayah terbatuk dan menyuruh ibu mengambil air. Aku yang sedang menikmati rendang ibu terkejut kerana ayah batuk tiba-tiba.

 

“Abang, awak tersedak ke?”

 

Ayah masih belum mampu membalas dan meneguk air. Selang beberapa minit, batuknya mula reda dan ayah mengambil nafas. Ibu masih berada di sisi ayah memegang jag air. 

 

“Rendang awak..” ayah menelan air liur mungkin tekaknya yang tidak selesa kerana batuk yang tiba-tiba.

 

“Rendang awak lain. Rendang awak tak sama macam rendang mak..”

 

Aku yang terpana dengan kata-kata ayah, tidak mampu menelan isi kunyahan di dalam mulut. Jarang sekali ayah memberi komen sebegitu kepada masakan ibu. Aku melihat mereka, suasana jadi senyap dengan kata-kata ayah..

 

Sebelum bunyi pecah jag air  memenuhi ruang makan.