Hal distopia yang mustahil dibayang,
kini muncul menyentak dengan tiba-tiba. Saat siren berbunyi kau jadi bingung.
Apakah perlu lari? Apakah perlu segera mengucap selamat tinggal? Apakah perlu
mengambil sijil SPM? Apakah perlu mengisi siap-siap air kosong dan membawa Panadol?
Ah perang sangat aneh. Kau berlari
kerana manusia lain berlari. Jika lari kau akan mati, jika tidak lari juga akan
mati. Jika tidak berlari nanti dicop sebagai tidak sayang nyaw. Sedangkan ini
perang. Perang semua akan mati.
Eh mana oyen? Oyen sudah lari dulu
dan tidah menunggu aku hingga tamat perang? Oyen, kau sangat praktikal dengan pergi
mencari lubang kosong untuk kau menginap. Aku sangka kau jadi teman baik aku
saat berlari dan kita mati bersama apabila tiada makanan. Tapi kau pergi dulu. Tidak
mengapa Oyen, terima kasih atas kenangan kita. Jika bertemu kau pura-puralah
merindui aku ya Oyen.
Kapal terbang melintas lagi. Bunyi
bom muncul sejurus.
Aku tercegat melihat kelakuan mak
dan ayah. Janggal sekali melihat mak yang masih mahu menutup penapis air dan
ayah sibuk menutup plak di suis utama. Tidak mampu aku menahan senyuman sinis melihat
mereka menganggap perang ini akan berakhir dalam sehari dua. Sebentar, apa
benar mereka berharap sungguh untuk kembali ke rumah meneruskan hidup, membayar
bil dan menghirup air segar dari penapis air?
“Charger sudah bawa ke Farah. Kamu jangan macam-macam, susah ibu nak call” Kata ibu kepada aku.
Mak, ayah.. perang sudah bermula. Hidup sudah tamat. Lekaslah jika mahu lari.