9/03/2025

Kawan setarikh

 


Esok adalah hari terakhir Kamal, maka terpancar kesedihan di semua rakan-rakan pejabat, khususnya Nadia dan Farah. Atas asbab itu mereka ingin memberi hadiah terakhir buat Kamal 

 

“Kamal.. kamal, kenapa dia yang pergi dahulu? Dalam ramai-ramai, dia?”

 

Memang, Kamal rakan terbaik. Kerap membawa makanan, seorang yang cekap bekerja dan dengan kelibat dia sahaja sudah mampu buat kami tak kering gusi. Semua bersyukur atas dua tahun bersama Kamal.

 

“Marilah Sumayah, beli sekali,” ajak Nadia.

 

Tapi adakah Nadia dan Farah tahu hari ini hari terakhir aku?

 

Mereka terlupa atau aku yang lupa memberitahu mereka?

 

“Kau yang paling rapat dengan Kamal kan. Kalau tak silap kau masuk sekali dengan dia.”

 

Iya itu benar, aku tak nafikan. Aku dan dia dari mula bersama. Sepatutnya aku yang paling sedih dan teruja untuk membeli hadiah perpisahan ini. Tetapi tidak, aku sangat bersahaja. Pasti Nadia dan Farah perasan yang aku tidak terlalu sedih.

 

Tentang Kamal, tidak mengapa. Aku dan dia terlalu rapat. Mustahil kami putus hubungan.

 

Dan selepas zohor kami bertiga pergi mencari hadiah. Nadia dan Farah kelihatan girang namun ternyata pilihan mereka meleset. Nasib baik saja ada aku yang memberi cadangan. Ketika memilih hadiah, mereka kerap teringat Kamal yang sangat mudah bergaul dengan semua rakan pejabat. Iya, Kamal adalah insan disenangi. Dia pasti dirindui.

 

“Tapi kan Sumayah,” Nadia berkata sambil menunggu pekerja barang elektronik mengambil barang yang dipesan. Mereka memilih papan kekunci berbunyi lembut (hanya selepas disaran oleh aku)

 

“Aku akan lagi sedih kalau kau pergi dari sini. Kau kawan baik aku.”

 

Sebagai kawan, kata-kata itu cukup bagiku. Mereka mungkin lupa nombor dan tarikh penting tapi cukuplah itu sebagai bukti persahabatan aku dan mereka.

 

Semoga semuanya baik-baik sahaja. Kau dan aku berjumpa lagi di lain masa. Maafkan silap salah aku ya Nadia dan Farah!

Seorang penuntut di Universiti Al-Azhar, Mesir. Suka menulis cerita pendek dan kontot demi memandaikan ummah.

This Is The Newest Post