11/10/2017

Di balik besi

Tags




Aku mengambil sehelai risalah yang dikomot di lantai, dikonyok siapa-siapa yang cemburu mungkin. Sempat mengerling tajuk terus aku memulangkan semula pada abang yang berada di hadapan aku. Aku biasa sahaja melihat risalah itu di mana-mana. Abang ini juga seperti risalah ini, siapa yang tidak mengenal beliau?

“Boleh kah kalau saya tidak pandai menulis, saya mahu juga menulis? Boleh ke begitu?” aku menghulur kertas itu sambil bertanya.

Abang yang berada di hadapan aku ini kelihatan sugul. Lama dia perhatikan aku, mungkin dia sedang mencari di mana dia pernah berjumpa aku.

“Awak Hamdi kan? Pelajar tingkatan 3. Betul?”

Aku mengangguk seraya berkata, “boleh ke bang saya nak belajar menulis walau asas saya tidaklah baik. Setakat menulis karangan tu boleh lah. Nak lebih-lebih macam abang, memang belum lagi.”

Melihat abang Faris masih tidak menunjukkan apa-apa respon, aku risau. Segan pula apabila ajakan aku tidak diendahkan.

“Baik, saya sanggup buat apa saja asalkan abang mengajar saya. Saya sanggup tak tidur dan tak main bola petang dengan kawan-kawan saya asalkan abang sudi menjadi mentor atau guru penulisan saya.” Aku mengangkat suara lebih tinggi. Kali ini aku yakin, semangat yang aku tonjolkan akan menambahkan kepercayaan dia kepada aku demi memudahkan penerimaan aku sebagai anak muridnya.

Dia mengambil helaian yang aku hulur dan tersenyum. Senyuman misteri sekalipun menawan itu menenangkan hati aku. Sekalipun bukan terang-terangan itu adalah jawapan bagi permintaan aku, namun senyum itu sudah cukup. Paling kurang, biasanya senyuman tidaklah bermaksud negatif. Aku yakin dia sedia mengajar aku menulis.

Abang Faris tiba-tiba belalu meninggalkan aku. Melopong aku dibuatnya.

“Abang Faris.. Sabar abang Faris. Tunggu sekejap!” dia masih berlalu tanpa menoleh kepada aku. Langkahnya juga semakin melaju apabila aku mula mengejarnya.

Aku berjaya memotong dan berdiri di hadapanya. Sambil menahan mengah, aku cuba memujuk.

“Mengapa abang tiba-tiba lari? Saya ada buat salah ke pada abang?” dia masih lagi senyap. “Abang tak sudi ajar saya menulis ke?” aku cuba memujuk lagi.

Tak. Aku tahu dari gelengannya.

“Mengapa? Abang hebat dalam menulis. Cikgu selalu puji tulisan abang dalam kelas dan atas nasihat mereka, saya bertemu abang untuk meminta abang untuk ajar saya.”

Abang Faris merapatkan diri kepada aku.

“Awak ingat senang ke nak menulis?” katanya. “Awak ingat menulis ni apa? Boleh senang-senang macam tu?”

“Saya tahu ianya susah, dan sebab itu saya mahu belajar daripada abang.”

“Awak tidak mampu Hamdi.. percayalah. Awak tidak mampu.”

Sekali lagi dia beredar meninggalkan aku meninggalkan aku terpinga-pinga. Aku tidak mampu? Apa maksud aku tidak mampu? Aku sedar yang aku bukan pelajar yang bijak. Namun apa salahnya jika aku ingin mencuba? Adakah menulis ini hanya kepada mereka yang ada bakat sahaja?

Aku memasang syak kepada abang Faris. Dia bukanlah penulis yang hebat kerana memilih anak murid yang bijak-bijak sahaja. Malah, dia merosakkan niat suci aku untuk belajar menulis. Tidak mengapalah jika tidak mahu mengajar. Paling kurang jawablah dengan cara yang baik, bukan membiarkan aku terpinga-pinga begini.

Kali ini dia menoleh dan kami berpandangan.

“Awak tengok tu Hamdi.”

Aku mencari apa yang ditunjukkan oleh Abang Faris. Tidak tahu apa yang difokuskan melainkan jarinya ditunjukkan ke arah padang.

“Apa, budak main bola?” tanya aku.

Dia tiada respon akan jawapan aku, dia menunjukkan lagi ke arah pelajar-pelajar yang sedang berada di kantin. “Itu, apa awak nampak?”

Mengapa dengan mereka? Getis aku dalam hati.

“Kau tahu Hamdi..” Abang Faris mula berkata-kata akhirnya. “Kau tahu kenapa abang menunjukkan ke arah pelajar-pelajar tersebut?”

Pilihan yang aku ada hanyalah menggeleng sahaja. Dia meneruskan kata-katanya tanpa mengendahkan aku.

“Abang boleh ajar kau menulis. Ya, abang sokong niat kau yang mahu menjadi penulis, dan tentang semangat kau, ya abang setuju. Cuma satu perkara kau kena ingat.”

Aku menunggu lagi, tanpa berkelip.

“Apa jaminan awak Hamdi, yang mereka semua ini akan membaca tulisan awak?”

“Apa jadi kalau ada diantara mereka yang tidak suka dengan tulisan awak?

“Awak ingat awak boleh tahan kalau mereka konyokkan tulisan awan di hadapan awak?” katanya sambil menunjukkan kertas yang aku hulurkan kepadanya sebentar tadi.

Dia menambah, “itu kalau setakat dikonyok. Bagaimana kalau mereka caci awak, mereka pukul awak, mereka penjarakan awak dan mereka bunuh awak dengan tulisan awak, awak ingat awak sanggup nak tahan semua itu?”

Apa, Berdarah? Penjara? Dia tentu sedar yang aku sedang membuat muka kaget di hadapannya. Tapi hairan aku bersebab, mengapa tiba-tiba menulis hingga masuk penjara? Mengapa mesti begitu?

“Lebih baik awak jangan menulis. Takut-takut, awak tidak tahan di kemudian hari.”

Aku melihat sahaja dia beredar dengan pantas tanpa mengendahkan aku. Pada saat ini, impian aku untuk menulis menemui jalan yang sukar rupanya. Aku sangka, mudah berguru dengan abang Faris namun bukanlah begitu jalannya. Mungkin aku tidak kenal siapa abang faris hingga bermudah-mudah sahaja aku menyuruh dia mengajar aku.

Apa yang aku kenal dia, dia adalah penulis paling dikenali di sekolah. Hampir semua pertandingan menulis di sekolah berjaya dia juarai. Dari penulisan ilmiyah, penulisan kreatif fiksyen dan non-fiksyen, puisi dan sajak, semuanya milik dia. Pertandingan menulis luar sekolah juga sering dia menangi. Memang anugerahnya adalah pada pen, jari dan akalnya. Aku juga ada dengar yang abang Faris juga ligat menulis novel dan buku ilmiah.

Bakatnya tidak dapat disangkal lagi. Memang seorang genius dalam  penulisan.

Namun bukan itu sahaja. Geniusnya tidak terhenti di situ.

Geniusnya juga dalam satu perkara lain, iaitu dalam kerajinan abang faris dalam berkongsi tulisannya. selain daripada blog dan tulisan di status facebook, dia kerap menulis di helaian dan berupa buklet untuk disebar pada semua pelajar sekolah. Pada mulanya aku menyangka dia ingin menjadi popular dengan menjaja tulisan sendiri. Namun pandangan aku meleset. Ya benar dia menjadi popular. Cuma bukan popular yang disanjung semua orang. Ada segelintir yang kurang berpuas hati dengan tulisan abang Faris hanya kerana pada tulisannya menegur segelintir insan ini.

Ya. Mungkin aku tidak kenal abang Faris.

Kali pertama aku mengenalinya ada di sini, benar-benar di sini berdekatan dengan tangga menaiki kelas. Abang Faris bertumbuk dengan seorang senior sebaya yang sekelas dengan dia. Aku sendiri menyaksikan kelahi antara mereka berdua. Sangkanya, abang Faris yang mencuri buah hati kawannya, seperti yang kawan aku beritahu aku. Dan ya, memang disebabkan abang Faris mereka tidak lagi berhubung. Memang sebab abang Faris mereka berpisah cumanya bukanlah kerana dia menjadi orang ketiga.

Tetapi kerana sebuah tulisannya yang tersebar luas mengenai hubungan lelaki-perempuan, ikhtilat.

Disebabkan itu, ramai pasangan di sekolah bercerai gara-gara sentap dengan isi tulisannya yang tidak bersetuju dengan cinta sebelum berkahwin.

Habis abang Faris dicemuh di laman sosial dan akhirnya memuncak apabila di hadapan mata aku sendiri aku melihat abang Faris ditumbuk.

“Kau dengan artikel kau ini baik masuk tong sampah je lah” abang yang memukul abang Faris meninggi suara. “Kau tahu betapa banyak masalah yang kau dah buat dengan benda ni?”

Dia menunjuk kepada artikel abang Faris yang sedang dipijaknya.

“Kau tahu berapa lama aku dengan dia, aku peruntukkan masa aku untuk dia, duit aku keluar. Dan kau tiba-tiba datang, semudah tu sebar benda ini, kau keji kami yang ada pasangan ni. Kau ingat kau siapa bagus sangat?”

Aku tak mampu berbuat apa-apa kerana aku tidak kenal abang Faris. Walau bagaimanapun, menumbuk sudah dikira melampau.

“Aku nak kau tarik balik semua yang kau tulis tu. Entah apa nama ikhtilat tu.. Aku nak kau minta maaf balik dekat satu sekolah ni. Kau faham?”

Abang Faris bangun sambil tersenyum. Dia menyalit darah yang berada di mulutnya. Walaupun pada ketika itu aku tiada simpati kerana tidak mengenali abang Faris, tetapi aku berharap yang dia tidak lagi ditumbuk.

Kedua-dua mereka berpandangan. Muka garang abang yang menumbuk dibalas dengan tenang oleh abang Faris. Senyuman terukir di bibir yang tercalit darah.

“Kalau aku tak nak tarik balik tulisan aku tu, kau nak buat apa dengan aku?” kata abang Faris.

Aku memandang abang yang seorang lagi. Jika tadi mukanya nampak begitu yakin, tetapi sekarang tidak lagi. Aku melihat dia dan beberapa orang kawannya yang lain terundur beberapa tapak.

“Kalau kau ingat yang aku takut dengan kau atau dengan satu sekolah yang bercinta monyet ni, kau silap!” Abang Faris tampak bergaya dengan suara tinggi dan yakin. “Aku malah lepas ini, akan buat artikel khas mengucapkan tahniah buat semua yang sanggup berubah, sanggup berpisah khususnya bekas teman wanita kau tu..”

Suasana kembali tegang dengan ucapan tidak kalah daripada abang Faris. Nasib baik ada kawan-kawannya yang menenangkan. Jika tidak, pasti sudah terhinggap satu lagi tumbukan pada abang Faris. Beberapa orang guru menghampiri tempat kejadian kerana kekecohan.

“Alasan aku untuk menulis, bukan setakat popular. Bukan setakat menang anugerah itu dan ini. Tetapi aku menulis sebab ianya kebenaran meski ramai orang tak suka. Aku puas jika tulisan aku membawa perubahan dan orang berubah. Dan demi itu aku sanggup buat apa sahaja.”

Dari tempat aku, dari memori itu, aku melihat abang Faris pulang. Dan dalam keadaan itu, masih lagi membawa helaian-helaian kertas untuk disebarkan.

Helaian yang sebelum daripada kisah bertumbuk itu, aku tidak pernah teringin pun untuk membaca kerana aku bukan jenis membaca sekalipun artikel yang ringkas begitu. Daripada kecil aku tidak gemar membaca. Namun kuasa penangan dari abang Faris seolah menampar dengan artikel dari tulisan dia hingga orang seperti aku yang tidak gemar membaca pun mahu untuk membaca.

Juga memberi kesan kepada aku.

Dan menulis juga, ya aku bukan kaki menulis. Seolah seorang yang tergesa-gesa daripada seorang yang malas mahu membaca, sekarang ini mahu menulis pula. Mengapa aku beriya ingin belajar menulis daripada dia. Mengapa aku ingin menulis?

Mengapa aku tiba-tiba ingin menulis?

Sebab aku ingin menjadi seperti abang Faris yang popular?

Atau ingin menjadi seperti abang Faris yang sanggup dicerca?

“Jadi, abang memang minat menulis, atau ianya hobi abang, atau abang rasa memang perlu untuk menulis?”

Dia masih redup dan keras. Masih lagi tidak mahu menjawab soalan aku. Mungkin terkejut kerana aku sanggup juga mengejar dia dari belakang.

“Maksudnya, jika penulis itu menulis sekadar minat, penulisan dia tidak akan jadi begitu mengesani kan?” aku tanya lagi.

Abang Faris masih senyap.

“Abang menulis bukanlah semata-mata minat kan? Jika tidak, masakan abang sanggup dipukul?”

“Tiada percanggahan antara dua tu. Penulis yang tiada minat, tak boleh pergi jauh. Bakat adalah kurniaan Allah. Kita sebagai hamba harus gunakan semua bakat yang dikurniakan. Cumanya…” Aku sekadar memandang walaupun tidak percaya dia sudi menjawab.

“Cuma, mengapa awak beriya lagi mahu bertanya abang macam-macam” dia memotong perkataanya sendiri. “Abang kan tidak mahu ajar awak. awak pun tahu yang bukan semua orang sanggup.”
Aku pula yang memotong dia, “ya bang. Saya bukan mahu abang ajar saya. Kali ini saya tak minta pun pada bang untuk mengajar saya menulis.

“Jadi apa?”

“Tolong saya jawab soalan tadi, dan saya takkan kacau hidup abang.”

Dia memandang aku. Memang dia benar-benar memandang, “penulis yang punyai minat, ya. Memang penting. Minat memang penting dalam melancarkan proses untuk menulis. Namun, sekadar minat, tidak akan mengubah apa-apa. Dia akan jadi penulis seperti jutaan penulis di luar sana. Digerakkan atas dasar minat dan mahu.”

“Seperti Syed Qutb yang meninggalkan gelanggang sastera semata-mata mahu fokus pada penulisan Di Bawah Naungan al-Quran?  Meninggalkan sastera kepada tulisan yang lebih kepada penulisan membentuk umat” aku membalas.

“Syed Qutb?”

“Ya. Tokoh yang abang banyak sebut dalam artikel abang..”

“Dia…” aku lihat dia senyap membatu. Mungkin membayangkan Syed Qutb penulis Di Bawah Naungan al-Quran yang masyhur. seorang penulis yang menulis sebuah tafsir ketika ditekan dan dipenjara. Sebuah tafsir yang hidup membuka ufuk pemikiran manusia kepada darjah yang baru. Membuka al-Quran dalam kerangka hidup yang lebih besar.

“Dia.. Dia mati dengan penanya yang masih basah bersilau dengan darahnya.. seorang penulis yang meletakkan aqidah dan iman dahulu, dan kemudian baru datangnya minat.”

Kagum. Aku masih mendengar dengan teliti.

“Sebelum minat, seorang penulis itu mesti ada jiwa yang peka untuk selamatkan umat. Perih keringatnya mesti untuk membina umat. Tulisannya bukan semata semberono berpaksi pada minat. Tetapi dia menulis ada tujuan, bagi melahirkan generasi yang soleh..”

Sebagai seorang yang kurang membaca, tentu sukar memahami apa yang dikatakan oleh abang Faris. Aku geli hati sendiri, panjang pula jawab balas dari abang Faris. Sudi pula dia.

“Menulis biar untuk umat. Biar umat lebih pandai dengan tulisan kita. Biar umat berubah dengan tulisan kita. Tulisan syurga kata orang.” Dia menambah. “Namun jika tulisan yang bosan, siapa yang mahu baca?”

Abang Faris berlalu lagi meninggalkan aku dengan tapak yang perlahan. Seperti ada yang tergantung. Sejujurnya aku mengharap lebih dari itu, aku mahu mendengar apa lagi nasihat dari abang Faris. Malah mahu tahu mengapa ada manusia menulis hingga berdarah.

“Malam ini jika mahu, datang rumah. Jika sudah selesai ‘mengapa’ mahu tulis. Harus tahu ‘apa’ dan ‘bagaimana’ mahu menulis.”

Peribadinya yang sangat redup. Aku membisik, mungkin ini caranya gaya penulis hebat dan tersohor. Berkata-berkata dan dibiar tergantung, kemudian berpaling dan menyambung kalam. Bergaya betul abang Faris!

Seorang penuntut di Universiti Al-Azhar, Mesir. Suka menulis cerita pendek dan kontot demi memandaikan ummah.