4/03/2020

COVID19 - Positif dalam Empati




Bos keluar masuk bilik pejabatnya. Penolong setia berambut kerinting mengekor saja dari belakang. Bunyi telefon berdering tidak henti. Malah bunyi bos memekik dengan sesiapa di telefon boleh didengar di meja aku yang paling hujung ini.

Maksudnya aku ini orang biasa-biasa. Meja aku paling jauh dari bilik bos.

Bos keluar semula dan masuk ke dalam bilik mesyuarat bersama penolongnya. Belum pintu tertutup habis, penolongnya keluar dengan gesa dan memanggil Puan Syara, Puan Izzah dan Syamil untuk masuk, yang juga tergesa berlari anak.Syamil sempat pula membetulkan tali lehernya dan menjeling ke arah aku sebelum masuk ke dalam bilik mesyuarat.

Aku kirim salam dalam hati. Senang sekali berkawan dengan Syamil. Meski berpangkat tinggi tapi kerap mempelawa aku makan tengahari bersama.

"Sudah, atuk aku masuk hospital" Kata Farhan yang duduknya di sebelah aku.

"Tenang. kita di tahun 2020. Mustahil pakar-pakar sedunia tidak menjumpai ubat. Tenang, atuk kau mesti selamat" aku balas.

Tiada senyum, angguk atau kata diberi Farhan. Mungkin sebaiknya aku memberi balas doa untuk atuknya. Harap saja Farhan tidak kecil hati.

Bilik mesyuarat tidak sedikit pun kelihatan tidak tegang. Dari jauh aku perhati bos yang daripada tadi tidak berhenti cakap. Syamil tidak bersandar dan Syara kelihatan tidak selesa. Hanya Izzah yang kadang-kadang kelihatan membalas sepeti berteriak juga. Tidak riak muka yang senang. Bersungguh-sungguh mereka bermesyuarat.

Bos bangun. seisi bilik mesyuarat turut serta mengikuti. Syamil menunduk dan hanya Puan Izzah yang keluar dari bilik mesyuarat bersama bos.

“Semua kakitangan akan bekerja dari rumah mulai esok, kecuali mereka yang terbabit dengan fungsi teras kritikal yang akan beroperasi secara bergilir-gilir. Puan Izzah akan memberikan jadual penuh secara berperingkat merangkumi jadual kerja mengikut kumpulan...”  Kata bos.

“...Buatlah seeloknya di rumah. Berdoalah syarikat kita masih selamat dan anda semua tidak dibuang kerja”

Kecoh. Suasana pejabat menjadi kelam kabut selepas mendengar ucapan tergempar daripada bos. Ada yang sibuk berbincang dengan rakan sebelah, ada juga yang bangun menuju bos dan ramai juga yang hanya terduduk diam.

Seperti budak 4 tahun dilanggar kereta. Ini syarikat sederhana yang baru sahaja meningkat naik. Mengharapkan keajaiban saja bila dilanggar sebegini teruk.


“Tenang. Ini 2020, tiada duit buat duit. Tiada kerja cari kerja. Apa susah. 2020 hilang, kita pergi 2021. Ini bukan perang dunia ketiga. Bukan begitu Farhan?” Kata aku. Selamba sambil senyum seloroh.

“Bodoh” kata Farhan sebelum berlalu pergi. Tergesa meninggalkan aku untuk segera pulang ke rumah mempersiapkan atuknya.

Aku teringat, itulah atuknya yang seorang yang menjaganya dari kecil.


Seorang penuntut di Universiti Al-Azhar, Mesir. Suka menulis cerita pendek dan kontot demi memandaikan ummah.