6/05/2020

Pondan Merangkak


Kerengga. Badannya tidak ubah seperti kerengga.

Sepanjang hidupku, aku tidak pernah melihat perempuan melayu dengan bentuk tubuh yang begitu anggun. Segalanya terletak cantik tidak ubah seperti kerengga. Pinggangnya ramping bukan seperti kebiasaan. Aku syak dia perempuan kacuk yang mendapat baka Rusia. Mustahil perempuan yang makan nasi setiap hari mampu mencapai susuk badan sebegitu.


Jangan jangan dia orang sejenis itu. Sejenis bukan dari dua jantina yang biasa. Entah. Mungkin perempuan yang benar-benar cantik atau bukan perempuan yang benar-benar cantik.


Aku memandang Syed yang masih asyik melihat perempuang dengan bentuk kerengga. Kami berada di dalam kereta, menunggu giliran pandu lalu dan perempuan itu berjalan, dengan penuh gaya, berkaca mata hitam menuju ke meja makan ruang luar restoran makanan segera. Kawan-kawannya riang bertepuk-tepuk menyambutnya. Galak sekali.


“Mereka memang cantik. Bukan senang ada pinggang sebegitu”


Kata Syed, menggeleng-gelengkan kepala.


“Mengapa geleng?” balas aku.


“Kalau bekung, tiada masalah. Ada yang ambil hormon, kolagen, implan. Habis bertukar jadi lain. Tak jadi yang asal”


“Tapi cantik kan. Kau pun tak lepas pandang dia tadi” kata aku cuba mengusik Syed.


Syed senyum sahaja, tidak membalas kerana ada mesej masuk di telefonnya. Senyum itu  tidak menafikan memang mereka cantik. Bukan mudah mahu jadi seperti wanita luar negara yang sebelum ini hanya muncul di cerita-cerita wayang. Mesti kena usaha keras.


Kereta berjalan perlahan. Masih banyak kereta di hadapan kami mengunggu giliran pandu lalu. Aku cuba  menoleh mencari pemandangan lain tetapi hanya mereka yang mata aku berminat. Sangat riang bergelak tawa tanpa menghiraukan orang lain. Sekali toleh seperti perempuan. Toleh kedua seperti lelaki pula.


Syed ketawa kali ini. Terbahak-bahak sambil membaca mesej di telefonnya.


“Kenapa kau ni?” tanya aku. “ada pondan mahu ajak berkawan ke?”


“Lagi teruk!”


Syed menunjukkan skrin telefonnya kepada aku. Mata aku terpana melihat satu tulisan panjang dari perempuan/lelaki yang tidak dikenali. Kami juga mendengar pesanan suara yang suaranya lembut-lembut garau. Teresak-esak bunyinya.


“Habis, kalau dia suka aku? Mak aku marah aku buat benda tak senonoh ni. Bala, boleh mengundang kutukan!”


Aku pula yang menggeleng. Mungkin dia tidak sempat menonton cerita Nur. Sibuk mengajar al-Quran malam hari.


“Kalau pondan berjalan kau boleh layan, yang ini layankan saja kalau ada pondan merangkak mahu belajar al-Quran. Kalau dia sentuh kau, ambil saja wuduk kalau was-was”


 “Tapi dia pondan”


 “Tapi dia manusia, Syed! Serupa kau dan aku. Tiada beza di hadapan al-Quran”


Kami meninggalkan restoran. Tidak sangka bukan sahaja aku mendapat makanan, malah mendapat kerja baru untuk temani Syed bersama mengajar entah lelaki, entah perempuan. Pastinya dia seorang manusia seperti aku, Syed dan kau.


“Kalau pondan berjalan kau boleh layan, yang ini layankan saja kalau ada pondan merangkak mahu belajar al-Quran. Kalau dia sentuh kau, ambil saja wuduk kalau was-was”

 

TAMAT


Seorang penuntut di Universiti Al-Azhar, Mesir. Suka menulis cerita pendek dan kontot demi memandaikan ummah.