![]() |
Aku harap kau... |
Malam gelita. Si abang
menyerahkan jaket terakhir kepada adik perempuannya. Kasihan melihat si adik
yang menggigil tidak henti. Baru tadi kelihatan sedikit sembuh dari demam. Jika tidak
dijaga, boleh panas kembali. Suhu yang tidak mengenal belas terus menurun hari
demi hari. Jika kena nasib, untung baik, dapatlah tidur di kediaman berbumbung.
Jika sial, sejuk tambah mencengkam tanpa payung atap yang sudah ranap dimusnah
bom.
Abang melihat
atas, mahu mensialkan siapa jika hari ini tidur tanpa atap lagi? Dengan saki
baki semangat seorang abang, dia menyorok gigil. Siapa sahaja yang mampu tahan
suhu di bawah kosong? Sikit lagi salji muncul dan pelarian seperti mereka walau
di mana sahaja, Bekaa Valley di Lubnan, Thessaloniki di Greece, atau di Amman
Jordan, mereka hanya mengharap agar tidak mati awal. Gagah menahan beku dan
mengharap siang muncul lebih awal. Pelukan abang kepada adik dieratkan dengan harapan dapatlah menghilangkan gigil adik yang kian lama kita bertambah.
“Apa sudah masuk
tahun baru kah bang?”
Adik memecah sunyi
ketika suasana digigit kedinginan malam. Abang tidak mahu menjawab soalan bodoh
begitu. Jika ada tahun baru apa ertinya, jika tiada apa ertinya juga?
“Kenapa, kau nak
ucap selamat kepada abang? Tahun baru kita tidak pernah selamat dik. Menahan gigil
pun kau tidak boleh, ini kau mahu ucap selamat?”
Abang mengambil tangan
si adik dan menghembus angin panas dari mulut. Dihembus-hembusnya lagi dan dibiarkan
sahaja jari adiknya dekat dengan mulutnya sementara fikirannya melamun panjang. Kerana sayang pada adiknya dia sanggup berjalan beratus kilometer
agar adiknya tidak mati diperkosa atau direbut bom. Andailah nasibnya bukan di Turki, maka Turki
hanya stesen. Jika perlu, dia perlu terus berjalan hingga ke Greece dan Serbia.
Perlu merentas Turki.
Pelukan makin
erat. Berat memikirkan cakap-cakap orang bahawa Jerman dan Perancis lebih baik. Ribuan kilometer haru ditempuhi dan paling perit Syria harus ditinggalkan. Perjalanan ini masih dan makin panjang.
“Saya sudah lama
tiada azam bang. Jika nanti ada peluang adik teringin nak buat azam. Nanti abang
ajarlah adik.”
"...Kerana sayang pada adiknya dia sanggup berjalan beratus kilometer agar adiknya tidak mati diperkosa atau direbut bom. Andailah nasibnya bukan di Turki, maka Turki hanya stesen. Jika perlu, dia perlu terus berjalan hingga ke Greece dan Serbia. Perlu merentas Turki..."
Abang berladung
dengan air mata. Seperti gigil tadi, semangat sebagai seorang abang menjaga
dari air mata terus meleleh. Hatinya berkocak dimasuki ribuan perasaan dan
persoalan. Dia sendiri sudah lama tidak menyambut tahun baru, sudah lama tidak
mempunyai azam, sudah lama hilang erti hari, minggu, bulan dan tahun. Masanya seperti sudah mati, tidak berharga lagi. Hanya menunggu masa dijemput ilahi.
“Nanti itu bila
dik, bila?” jawab abang dalam hati. Menangis dan menjerit.