1/17/2017

Kamera Murah


Ini Bukan Ramses Station



Tangan si ayah melingkari anaknya, dia seakan memeluk dari belakang. Cara si anak memegang kamera-telefon pintar kelihatan janggal. Melihat begitu, si ayah mahu membantu. Dia memegang tangan anaknya, menghalakan kamera dengan lebih baik.  

Telefon pintar itu tidak mahal. Kameranya juga biasa-biasa. Lagi, yang mengeluarkan telefon bimbit itu dari poket anaknya. Itu mesti telefon pintar yang dikongsi mereka bertiga; si ayah, anak lelakinya dan seorang lagi yang perempuan. Cuma diletakkan di poket anak lelakinya.

Kasut si ayah nampak lusuh begitu juga seluarnya. Namun gayanya tidak kalah mahu membantu mengambil anaknya. Antara tahu dan dan membuat-buat seperti tahu, ayahnya mengambil gambar.

Tadi gambar anak lelaki. Kini si ayah menyuruh anak lelaki dan perempuannya bersama. Biar sahaja ayah yang ambil. Biar ayah yang ada lagak pro ini sahaja yang lakukan.

Dia senyum, dari situ terbit kepuasan. Kepuasan mengajar si anak satu kelas kehidupan. Mengambil gambar seharusnya begini. Mungkin senyuman itu bersama impian, mahu anaknya pakar mengambil gambar foto-foto cantik, yang semua orang mahu beli.

Kamera itu tidak mahal. Kepuasannya bukan pada berduit mampu beli telefon pintar dengan kamera canggih. Tetapi pada selesainya mengajar cara mengambil gambar yang sebenar. Dia tahu dia tiada duit, yang ada cuma ikhlas, mahu ajar si-anak.

Itu erti senyum yang aku rasa.

Facebook
Ramses Station
16 Jan 2017

Seorang penuntut di Universiti Al-Azhar, Mesir. Suka menulis cerita pendek dan kontot demi memandaikan ummah.