11/03/2016

Akidah yang Utuh








“Dapat apa kalau tengok batu?” kata Arif, perlahan. Mengelak daripada ramai yang mendengar soalan provokasinya.

Tidak berminat untuk melayan aku lebih ingin menikmati batu-batu yang tersusun, dan bewarna. Mungkin ada yang hancur, namun kehancuran itu seperti juga disusun. Hancur juga demikian kemas. Apatah lagi yang kekal utuh, tersergam seperti bukit yang dikatakan tursina ini, gunung tertinggi di kawasan Sinai ini. Matahari membantu mengeluarkan warna batu, kelihatan emas-emas oren jika waktu sekarang ini, waktu dhuha.

Hanya sekarang ini juga aku baru sahaja mampu menonton batu yang tesergam ini. Semalam ketika mendaki ke puncak, aku menonton keajaiban alam yang lain. Batu-batu ini semacam disorok oleh malam. Aku lebih banyak melihat bintang.

“Tapi ia kekal batu. Aku tak nafikan ia cantik, tapi ia tetap batu.” Kata Arif lagi ketika kami menuruni tangga gunung Sinai. Pantas Arif menuruni tangga, malah mengajak aku berlumba ke bawah.

Ia batu. Ia kekal menjadi batu.

Faktor karakter atau dia sendiri yang dirabun mata dari melihat keajaiban alam ini? Aku tidak mahu berlumba dengan kau. Orang seperti aku adalah jenis yang suka berteman dengan alam. Aku mahu menikmati sedalam mungkin pemandangan dan sejarah tempat ini. Berikan aku sehari suntuk untuk berada di sini juga aku mampu. Mungkin jenis aku yang introvert, suka mencari teman selain manusia seperti alam dan buku, mampu menghayati alam dengan lebih sungguh-sungguh, mampu berlama-lama dengan udara sejuk ini, menghirup udara segara gunung Sinai dengan tenang dan beromong-kosong dengan matahari yang keluar seperti telur emas.

Terbit khuatir dalam diri. Adakah orang jenis aku sahaja yang mampu melihat batu lebih dari batu? Bukankah Tuhan sendiri yang menyuruh hambanya melihat bagaimana unta dicipta. Bagaimana langit didirikan tanpa tiang, dan bagaimana siang dan malam bertukar setiap hari?

Bukankah Tuhan menyuruh kita memandang dan berfikir?


Aku bingung dan Arif terus berlari menuruni tangga yang buatan orang itu. Aku melihat Arif berhenti sebentar di perhentian di mana arab badwi menggunakan peluang menjual seperti mi segera, teh o, air panas dan coklat. Sangat sesuai ketika cuaca sejuk yang memerlukan bahan bakar. Harga sedikit mahal namun bagi sesetengah orang, itu cukup berbaloi.

Aku perasan yang bersama Arif di kedai itu, mereka orang eropah dan asia. Malah aku juga berselisih dengan mereka orang afrika berkulit gelap. Bersungguh mereka mendaki walaupun hanya berkaki ayam.

Ketika mendekati Arif, aroma nescafe sudah berlegar-legar. Tidak tahan aku dari meminta sedikit dari dari Arif. Kau bayangkan suhu dalam 12 celcius ini, menikmati secangkir nescafe panas. Aduh sedapnya luar biasa!

“Kau rasa apa yang membuatkan mereka ini mendaki dengan bersungguh. Kau tengok sendiri, umur mereka bukan remajawan. Ini sudah berpangkat mak ayah kita juga ada.” Kata Arif menjeling-jeling kumpulan philipini yang melalui jalan yang sama.


Aku mengangguk. Tidak pasti jika aku berumur 35 tahun mampu untuk memanjat gunung ini. Empat jam jika orang muda. Jika mereka? Kecuali ada sebab yang benar utuh seperti jabal tursina ini, tentu mereka tidak mampu naik. Tentu ada sebab besar yang menolak mereka untuk terus mendaki. Jalannya berterabur, cuacanya pula hingga ke tulang dirasai.


“Takkan semata batu-batu cantik dan matahari naik. Tentu ada sebab lain”

Aku memandang Arif. Kalam itu ada benarnya. Jika hanya batu menjadi sebab, banyak lagi lembah-lembah gunung yang berkali ganda lebih cantik. The wave Canyon di Amerika syarikat dan Gorge du Verdon di Perancis berkali lebih cantik. Malah aku sendiri sudah melihat Wadi mujib dan petra di Jordan. Bukan menafikan kehebatan Sinai. Cuma jika sebab yang satu itu sahaja, mustahil. Kurang berbaloi pendakian mereka.

Cuma ianya berbaur sinis. Kerana aku sangat mengagumi batu yang indah ini. Cuma ya juga, mesti ada sebab yang lebih kukuh, lebih kukuh daripada batu dan matahari terbit.


“Mesti sebab yang itu.” Kata aku kepada Arif yang sedang menghulur duit membayar kepada tuan kedai. Percakapan mereka menggunakan lahjah badwi yang aku sendiri sukar untuk memahami. Lahjah mereka berdekatan dengan lahjah arab Jordan.

“Oh yang di atas tu.” Arif lambat menangkap maksud aku. Beberapa tapak selepas baru dia membalas.


“Kau pun dengar bagaimana mereka menyanyi bukan”


“Sebab itu cepat-cepat kawan-kawan kita menyuruh bernasyid asmaulhusna. Kuat-kuat pula”


Aku sekadar tersenyum. Menarik melihat bukit ini dihuni tiga akidah Ibrahim, islam, yahudi dan kristian dan bagaimana semua menuju ke puncak yang sama, dan ritual tiga agama ini lakukan. Warna kulit serta saiz juga berbeza-beza, namun semua menuju dengan akidah sendiri mahu menuju ke puncak. Benar atau tidak Musa pernah berjumpa Tuhan di sini, itu perbincangan lain. Khilaf


Arif berhenti dan menyuruh aku mengambil gambar dia berlatar gunung dan batu-batu. Aku mengambil gambar dengan sinis. Sakan pula dia bergaya untuk bergambar.


“Ambil juga gambar dengan batu. Bukan main kau memaki mereka yang suka melihat batu”


Arif mengambil seketul batu, dan mengacah-acah mahu membaling ke arah aku. Aku pura-pura mengelak, melayan sahaja Arif.


“Bukit ini memang cantik. Aku tidak nafikan kecantikan susunan batu yang kekal utuh ini. Cuma iyalah, jika sekadar batu, broga pun ada batu,” kata Arif.


“Aih, manusia ini jika dia beriman dengan sesuatu, semua benda dia sanggup buat untuk perkara yang dia imani.” Arif masih lagi menyambung. “Macam musa yang sanggu bertemu Tuhan, sama juga macam kita dan mereka ini. Cuma mereka lebih hebat, kerana umur-umur begini juga sanggup.”


Di atas bukit tadi aku teringat, ada yang melalak, ada yang berdoa dengan nama yang macam-macam, ada yang berasmaul-husna, ada yang solat subuh berjemaah. Semua beriman dengan akidah yang sendiri imani. Maka itulah manusia, yang menggerakan mereka adalah apa yang anuti dan imani.

“Seperti Musa, seperti pakcik philipini bukan muslim ini, seperti afrika berkulit gelap yang tidak tahu apa agama mereka, semua utuh beriman dan sanggup memanjat gunung ini. Yang menolak mereka bukan badan fizikal mereka. Yang menolak mereka adalah aqidah mereka..” aku menyambung kata-kata Arif, sekadar melengkapkan ayatnya.


“Seperti keutuhan gunung dan batu-batu yang kau suka ini juga. Hanya yang tinggal, kita yang muslim ini sahaja utuh atau tidak” Arif menghabiskan baki ayatnya sebelum berlari meninggalkan aku memotong semua di hadapannya.

Aku tidak mahu berlumba, aku masih introvert yang perlahan menghayati alam. Juga muslim beriman yang belajar dari Musa.

Walau aku tahu iman aku hanya senipis kulit bawang berbanding alam dan Musa.

Seorang penuntut di Universiti Al-Azhar, Mesir. Suka menulis cerita pendek dan kontot demi memandaikan ummah.

1 komentar so far

Tiada komen melainkan anda yang komen.

Hihi