10/23/2016

Kritikal






Kawan aku berdiri setelah mendapat keizinan dari cikgu. bersungguh mengangkat tangan selepas cikgu membuka ruang untuk menyoal. Ahmad berdiri dengan bangga, berdehem dan mengajukan dua soalan. Dua soalan yang amat meyakinkan, gah dan berkarisma. Itu soalan aras sukar, dan Ahmad mampu bertanya soalan begitu dek infrastruktur soalan yang dibina dari pengamatan yang tinggi. Budak biasa-biasa yang tidak mampu berfikir jauh, tidak mampu bertanya soalan serupa begitu. Bunyi soalannya cukup menimbulkan iri.

Aku tidak sedikit pun memandang kawan aku. Lama cikgu dan Ahmad bertukar berbuah fikiran. Pada mulanya hanya Ahmad yang bertanya, namun kelamaan, mereka seakan bersembang. Seakan menjadi dua hala yang penuh perkataan bombastik menggugah jiwa. Aku perasan ada kawan aku yang mengangguk dan cuba memasuk topik, cikgu dan Ahmad membenarkan. Namun aku tidak mahu menunjukkan minat.

“Selepas ini orang lain yang mesti bertanya. Kerap sangat Ahmad bangun dan bertanya. Dia sudah cukup bagus. Kita mahu yang lain juga seperti Ahmad.”

Kecuali aku, semua mata bersinar melihat Ahmad. Rakan belakang aku, ataupun yang seberang sana, pelajar silang jantina juga kelu. Mereka tidak menafikan pujian cikgu pada Ahmad. Dari pandangan mata mereka juga aku meneka, mereka semua memendam hasrat untuk menjadi se’kritikal’ Ahmad. Bonus juga jika mendapat teman lelaki seperti ini.

"Puas bertanya soalan, budak kritikal?" Aku berbisik kepada Ahmad. Itu panggil nakal aku pada Ahmad, malah Ahmad tidak pernah memarahi aku. Aku syak dia menyukai panggilan itu.

"Aku kasihankan cikgu. Bila mengajar tiada seorang pun yang sudi bertanya. Kau harus faham isi hati seorang guru. Mereka mahu respon, itu tanda mereka dihargai." Ahmad membalas.

"Maka, kau harus juga menghargai masa aku. Kelas menjadi panjang disebabkan kau, disebabkan kritikalan kau," aku membalas kembali.

“Malah itu sekadar alasan kau. Aku sudah lama mengenali kau.”

“Bukankah kau biasa puji aku kritikal.”

“Aku tak pernah sekali pun puji kau!”

Aku melihat Ahmad ketawa begitu seronok. Bagi manusia begini, kata-kata aku adalah pujian bagi mereka. Ia ibarat makanan yang menjadika mereka terus mencuba untuk menjadi lebih kritikal. Aku tidak berniat memuji. Namun dibalik itu, kata-kata aku menunjukkan banyaknya idea Ahmad.

"Hidup perlu kritikal, Hatem. Baru seronok." Kedengaran sisa tawanya ketika berbicara.” Apa guna kita terus hidup jika kita sama dengan orang lain. Kritikal adalah luar kotak. Kita mengkiritk idea atau apa yang berlaku dalam hidup kita. Maka kau akan lebih daripada orang lain, dan cara hidup kau akan berbeza”

Guru untuk pelajaran seterusnya masuk ke kelas. Hingar yang tadi memenuhi ruang kelas, kini hilang apabila ketua kelas menyuruh kami berdiri, memberi salam hormat kepada guru. Aku kembali mendekati Ahmad, dan berbisik;

"Untuk apa?"

Seisi kelas duduk setelah diizin cikgu. Beliau terus mengambil pen di dalam begnya dan menulis sesuatu di papan putih. Suara cikgu mula bergema mengawal ruang kelas. Tiada basa-basi, kami membuka buku teks tanpa disuruh.

"Untuk apa kau menjadi lain daripada orang lain. Kau harus memberikan sebab yang kuat mengapa kau teringin berbeza dengan orang lain.” Aku pura-pura membelek buku teks, berlakon menekuni pelajaran. “Kau orang kritikal. Tentu ini soalan mudah.”

Ahmad bermain bibir. Dia seperti aku juga, berlakon menekuni pelajaran dan pura-pura mendengar apa yang cikgu ajarkan. Mungkin khusus ketika ini, kamilah mereka yang pura-pura itu. Walaupun aku tahu seisi kelas atau tanpa berniat melampau, seisi dunia tidak begitu fokus terhadap apa yang guru mereka ajarkan.

Ketika itu aku mengangguk. Betul juga ya, jarang benar orang fokus atau kritikal pada sesuatu perkara. Mungkin ramai yang mendengar atau memberi mata mereka menumpu pada sosok guru di hadapan. Tetapi yang benar menyerap dan hadirkan diri ketika kelas itu sebenar-benarnya sangatlah sedikit. Betul juga kata-kata Ahmad, manusia terlalu lembap dan kurang daya fikir.

Mengapa mesti bersama mereka, manusia yang tidak berfikir. Mengapa tidak keluar dari kelompok kebodohan dan menjadi manusia yang mahu berfikir jika tidak mahu dipanggil kritikal.

Aku memandang Ahmad dan tersenyum. Menunggu jawapan dia sehingga aku sendiri yang terperangkap dengan soalan sendiri. Apakah ada perkara yang lebih penting dari menjadi kritikal?

Atau semudah menjadi seorang kritikal itu sudah cukup bagus?

Jika mahu kritikal sangat. Jawab ini dahulu!  

“Nabi Ibrahim kritikal ketika mencari Tuhan. Kalau dia tidak bertanya tentang bulan dan matahari, apakah ia Tuhan atau tidak, tentu dia tidak menjumpai Allah yang sebenar. Itu sunnah yang baik dari ayah kita, Nabi Ibrahim.” Ahmad berbisik kepada aku. Kami menggunakan peluang ketika cikgu sedang menulis di papan putih.

Ahmad mengangkat-angkat kening. Jijik sekali gaya penuh bangga itu.

“Nanti kita bincang lagi selepas kelas. Aku mahu menjadi kritikal sebentar.” Kata Ahmad sebelum mengangkat tangan, diizinkan cikgu, bertanya dengan lantang seolah dia benar-benar menekuni kelas, berbincang dan bertukar pendapat sebelum dipuji oleh cikgu. Lagi.

Rakan belakang aku berbisik memuji Ahmad. Di seberang tempat aku, pelajar perempuan juga tidak lepas mata mereka melihat Ahmad. Lagi, situasi yang sama.

“Aku tahu kau sekadar mahu dipuji. Cet, kau jijik Ahmad. Kau jijik. Berbangga dengan pujian manusia dan menggunakan hujah Ibrahim” bisik aku. Kali ini sendiri aku mengeji Ahmad yang sedang menahan senyum dek kebanggan menjadi pemuda kritikal.

Kau salah sebab! 



Seorang penuntut di Universiti Al-Azhar, Mesir. Suka menulis cerita pendek dan kontot demi memandaikan ummah.