7/09/2016

Selamat Hari Raya Ibu





Takbir raya datang bertalu-talu. Selang seli dengan lagu raya yang dibiar pasang oleh jiran sebelah. Bau rendang dan kuah kacang serta gelak tawa anak-anak kecil bermain bunga api turut hadir. Semuanya seperti di hadapan mata. Terkenang, aku dulu-dulu mesti main bunga api. Mercun, jika saudara aku ada bawa. Jika tidak, main apa yang ada sahaja.

Aku memandang tangan aku. Hitam dan berbau minyak tanah. Penuh keliling kawasan rumah kampung kami dengan panjut. Marah opah kalau panjut tak dipasang, takut kalah dengan jiran sebelah. Jadi, sebelum dapat sentuh bunga api, kami mesti selesaikan tugas panjut kami. Segera pasang, boleh main.

"Aku cemburu dengan kau, boleh raya di Mesir,” kata Hilmi. “Susah-susah kau tolong aku angat beg ke bawah.”

Kenangan indah beraya di kampung mengusik aku di petang ini. Nasib Hilmi menegur aku dari lamunan panjang.

Aku senyum. “Kalau aku tak angkat, siapa lagi nak angkat?”

Dia balas senyum aku, “tapi betul Amad. Aku cemburu dengan kau, beraya di Mesir. Macam tahun lepas, kita masak rendang sama-sama, lodeh... pagi, lepas solat raya, kita habiskan semua...”

“lepas tu tidur..”

Ketawa kami pecah. Kenangan tahun lepas beraya di Mesir bersama hadir. Setelah seharian tidak tidur kerana qiam di akhir ramadhan, esoknya terus bertungkus lumus memasak lauk raya. Nasib baik ada yang beriya masak, kalau tak, tak jadi juga. Nasib baik lagi, pada malam raya kami beronda mencari kedai yang masih lagi dibuka. Akibat tidak merancang awal, banyak kedai sudah tutup. Mujur masih ada lagi yang buka, dan dapatlah kami merasa rendang di pagi raya.

“Dan kau.. tak beli tiket lagi kan?” tanya Hilmi sambil bermain mesej. Mungkin memberitahu kawan yang membawanya ke lapangan terbang agar segera cepat. Senyuman masih lagi belum lepas dari bibirnya. Gembira Hilmi pulang beraya di Malaysia.

Aku diam. Pura-pura sibuk mengangkat beg.

“Kau bincang lah dengan mak kau. Cakap elok-elok dengan dia. Aku rasa dia faham dengan keputusan kau.”

“Kau pula, jangan lupa aku bila kau jumpa sate nanti. Kirim salam sekali dengan mak kau,” aku membalas.

Hilmi senyum melihat aku. Dia perasan aku menukar topik bualan. “kau kuat mad. Aku tahu kau kuat. Kau tetap di sini sebab kau kuat. Aku balik tak lama. Nanti aku kirim gambar.”

Aku menaiki tangga dengan berat. Berat sekali. Berat kerana pertarungan yang berlaku dalam diri. Aku tidak sedih kerana kawan yang pulang beraya dia Malaysia dan meninggalkan aku seorang di rumah. Aku bukan sedih sebab itu, cuma melihat ramai kawan pulang, menyebabkan aku sering tertanya sendiri,

Mengapa kau tak pulang?

Jujurnya, aku sudah ada jawapan. Dan jawapan itu cukup kukuh untuk menetapkan hati aku. Pulang ke Malaysia setiap tahun berbulan lamanya bagi aku tidak beberapa untung. Banyak yang terlepas jika pulang cuti musim panas.

Lagi-lagi jika kau bercita-cita ingin menjadi seorang ulama agung, atau ingin menjadi seorang pengubah masyarakat. Jika datang ke Mesir hanya untuk pergi kelas, dan kemudiannya pulang, itu tidak akan mengubah apa-apa.

Namun soalan yang lebih jujur, yang lebih manusiawi...

Kau tak sayang ibu kau?

Aku membuka telefon melihat mesej tadi dengan ibu. Ibu mahu menelefon aku, cuma tadi Hilmi mahu pulang jadi aku menunda sebentar untuk membantunya mengangkat beg. Ibu masih ada lagi, dan dia mahu menelefon aku sekarang.

“Jadi kau tinggal seorang sekarang di rumah?” ibu tanya selepas berbasa basi. Nadanya sinis sekali.

“Kalau rumah, kosonglah. Semua balik. Tapi kawan-kawan lain ramai bu. Nanti Amad beraya rumah mereka. Kalau tak pun, mereka beraya rumah Amad.” Aku jawab sehabis baik.

“Kalau ada Amad, meriah sikit raya kali ini. Gambar keluarga pun dah lama tak penuh.” Kata ibu lagi.

Aku menahan sebak. Masih lagi menyusun kalimat yang terbaik untuk membalas. “kakak kau pun tahun ni balik. Sedondon ni ha baju raya tahun ni. Bukan senang dia nak pakai baju raya sama sedondon...”

Kakak belajar di Uk dan memang akan pulang setiap tahun. Tapi aku lain dengan kakak, cara pandang hidup di luar negara berbeza dengan kakak. Sebab itu Kakak pulang setiap tahun, dan aku pulang bila perlu.

“Kakak sihat?”

“Begitulah dia. Dia ingat kau balik tahun ini. Boleh jumpa kau”

Aku menahan senyuman. Pelik perangai kakak bila berjauhan. Dahulu, banyak bergaduh sekarang mahu berjumpa-jumpa pula. Perubahan yang ketara sejak kami jarang berjumpa. Selain pada ibu, timbul rindu pada adik-beradik.

“Tak henti dia suruh mak beri kamu duit untuk pulang. Katanya bukan ada apa di Mesir tu. Baik lagi pulang. Boleh bersama keluarga beraya. Kalau tidak lama, sekejap sudah cukup.” 

Seperti tiada kekuatan untuk membalas. Aku sudah tidak keruan. 

“Amad bukan tak nak balik, ibu,” berat sekali untuk aku membalas. “Semua ni sebab amad sayang ibu. Sebab amad sayang semua orang. Tak nak nanti balik tangan kosong.”

Aku sendiri tidak mengharapkan ibu memahami aku. Membalas aku dengan memberi kata semangat agar aku terus kuat di sini, terus belajar, terus menyusun kehidupan, terus membaca buku, menghadiri kelas. Aku tak membayangkan ibu akan memahami perkara yang berat-berat ini.

Dari tadi ibu senyap. Ingin sekali aku menjelaskan keberadaan aku di mesir yang tidak pulang kerana aku sayang ibu, aku sayang kakak, aku sayang semua. Agar aku jadi sesoleh mungkin, untuk menjadi insan yang diharap umat. Pulang beraya adalah sayang sebentar. Sayang yang abadi adalah kau benar-benar menjadi insan yang berguna.  

Ini bukti aku sayang ibu.

“Tahun depan Amad balik beraya. Jangan risau bu, Amad pun mahu pakai sedondon juga. Dua tahun pakai jubah sama ni, tak seronok juga”

Bunyi seka air mata dihujung telefon menimbulkan sebak. “Amad...”

“Ibu...” Satu nafas panjang diambil sebelum aku benar-benar berani bersuara. “Terima kasih ibu kerana memahami amad. Pengorbanan ibu melepaskan amad ke sini, sabar walau amad tak pulang...”

Cukuplah bunyi esak air mata itu hilang diganti dengan ketawa yang tertahan-tahan. Aku mampu menggambarkan wajah ibu yang tua mengesat air mata dengan kura tangannya. Membayangkan itu membuatkan aku pula yang mahu menangis semahunya.

“Selamat hari raya bu. Maafkan silap salah amad.” Perlahan, perlahan sekali aku menutur. 







Seorang penuntut di Universiti Al-Azhar, Mesir. Suka menulis cerita pendek dan kontot demi memandaikan ummah.