7/31/2023

RM 100,000


 



Berada di kedai mamak, banyak benar bunyi yang berterbangan. Bunyi orang bergelak tawa, cawan bergeser, senduk dan kuali beradu, pekerja kedai menjerit dari hujung kedai ke hujung kedai dan selalu juga terselit bunyi kanak-kanak menangis. Jika berada di dalam akan bingit, di luar pula terpaksa menghadap bau asap rokok. Situasi ini subjektif sama ada ini damai atau tidak, namun bagi Jamil, aku rasa bagi dia ini adalah kedamaian kerana mamak adalah rumah ketiganya. Tidak pagi, malam ada muka Jamil. Atas meja ada 2 cawan. Satu cawan untuk sejam pertama, satu cawan lagi di sejam yang kedua.


Jamil mengajak aku bersembang. Aku iyakan saja dan tentu sekali mamak menjadi pilihan tempat pertemuan kami. Dalam hati aku fikir kenapa tidak pergi ke cafe saja. Sekarang ini di belakang rumah ada cafe. Bukan mewah mana, mamak pun sama harga dengan cafe. Lagipun kata Jamil ada hal serius. Lah, jika serius, mengapa tak ke cafe saja. Boleh aku minta Jamil belanja aku kopi ais.


Jamil buka kotak rokok dan hulur pada aku. Cis keparat ini yang buat kedai mamak ada berbau tidak enak. Makin rimas pula bila Jamil kepul-kepulkan asap.


“Nak sebatang boleh ambi” Kata Jamil. Dia tahu aku tak merokok tapi dia juga tahu manusia boleh berubah. Dulu ada kawan di sekolah menengah yang jadi pengawas kerjanya potong-potong rokok rampasan. Nah, sekarang dia yang jadi perokok tegar. Aku perasan ketika selepas bermain futsal. Tangan yang potong rokok itulah yang pegang rokok.


“Tapi itulah Mat, benda dah jadi” Jamil mengetip rokok untuk membuang hujung baki rokok."Aku beri Faisal pinjam modal perniagaan RM 50,000."


"Dan?"


"Dia muatnaik gambar bercuti pergi Koh Samui!"


Aku pura-pura terkejut kerana aku tak tahu apakah itu Koh Samui. Aku juga tak tahu Jamil ada duit RM 50,000. Dalam fikiran aku sekarang, berfikir seputar adakah Koh Samui itu dalam Malaysia atau di luar Malaysia? Apakah ianya satu percutian yang mega mahal seperti Perancis hinggakan aku tidak pernah mendengarnya? Adakah ia sama seperti baguette yang rupa-rupanya ianya sekadar roti?


Kalau tanya nanti terpampang benar kebodohan aku. Aku benar-benar terfikir, Jamil kini semakin berada atau aku yang semakin miskin kerana orang kaya memang begitu. Mereka fikir semua orang tahu dunia mereka. Menyebut kedai pastry di Semenyih, mengadu mengenai anak mereka yang tidak mampu berpidato dalam Bahasa Inggeris walaupun sudah membayar yuran mahal, menceritakan pengalaman berebut membeli telefon baru dan ada juga yang berkongsi kesedihan tidak dapat membeli tiket konsert yang harganya mencecah RM700.


Jamil juga serupa. Dibuatnya Koh Samui itu seperti di Setapak dan mempunyai RM 50,000 itu hal kebiasaan. Entah-entah sengaja disebutnya jumlah sebesar itu.  


“Jadi kau takut dia tipu guna duit itu untuk pergi melancong ya. Begitu?”


“Isy bukanlah takut sangat. Cuma aku risau dia tidak fokus. Baru dapat duit sudah pergi melancong. Sepatutnya duit itu guna untuk berniaga. Memang itu tujuan aku beri duit modal pada Faisal.


“Tapi tak sangka banyak juga ya, boleh tahan kau”


“Apa yang banyak?”


“Banyak duit kau. Puluh ribu dalam simpanan.”


“Isy apa yang banyaknya Mat.”


Ada saki baki ayam goreng yang berada atas pingganya, diberi kepada kucing yang mengiau dari tadi. Seorang wanita miskin membawa anak datang dan meletakkan tisu atas meja sambil menunjukkan jari satu. Jamil mengeluarkan not kertas RM 5 sambil memberikan tisu semula kepada wanita itu. Ketika itu juga melihat aku yang tidak memesan makanan, Jamil paksa aku memesan nasi putih dan ayam bawang. Katanya itu menu spesial. Rugi tidak cuba.


“Sebut nanti nasi bawang Jamil. Tahulah mereka tuang banyak mana.”


Sebelum sambung, Jamil menjolokkan sebatang lagi rokok ke bibir sambil membakar hujung rokok itu.


“Kau lupa ke dulu kita makan nasi bungkus kongsi dua orang,” Tanya Jamil.


“Apa pula tak ingat. Peluh kita beratur semata-mata untuk dapat nasi bungkus harga murah. Sudahlah murah, dikongsi lagi.”


Waktu belajar dulu memang perit namun tidak pernah mengeluh ketika nasi putih dikongsi dua. Jika haritu kuah kari dan kicap, maka Jamil yang makan lebih. Jika gilirian aku mengambil lauk sambal, aku yang dapat nasi lebih. Ikutlah duit poket. Ketika ibu baru kirim duit, aku yang bayarkan dahulu. Jika elaun kerja sambilan di kedai fotostat sudah masuk, Jamil pula yang bayar.


“Sebab itu Mat aku ajak kau sembang.”


Nasi lauk ayam bawang tiba di meja. Tiba dengan warna minyak dengan bawang yang penuh di atas ayam yang tersorok di bawah nasi dan bawang. Aku mengacah menjemput Jamil makan sekali namun dia sekadar mempersilakan aku makan. Aku biarkan saja Jamil bercerita. Fokus aku sudah bersama nasi.


“Aku nak beri kau RM 100,000 untuk kau mula niaga.”


Mata aku terbeliak sikit namun enggan menunjukkan reaksi yang melebih. Masih sibuk melahap suap demi suap.


“Aku tak kisah kau nak niaga apa. Tapi yang aku tahu kau bukan macam Faisal. Aku beri duit bukan untuk main-main pergi melancong sana-sini. Kau boleh kawal. Aku kenal sebab kita sama-sama belajar. Kau pun pernah susah. Kalau tak tahu aku boleh ajar.”


“Tapi Jamil, aku? seratus ribu?"


“Kita dulu pernah susah, aku sekarang dah senang sikit. Dunia bergerak pantas dan kalau kita sama-sama ada duit kan bagus.”


Kami sudah berpisah dan aku sudah berada di dalam kereta. Tangan aku masih lagi berbau kari dan bawang. Melekat aromanya walaupun sudah dicuci dengan sabun. Tak lupa juga tawaran menarik dari Jamil yang pasti akan melekat dalam fikiran aku sepanjang minggu. Tadi, ada bincang-bincang sikit bagaimana nak urus, idea niaga dan sebagainya. Jamil tidak bantah, cuma dia minta jumpa semula selepas seminggu kerana dia ada urusan sumbangan dengan Yayasan Ikhlas di Sabah.


“Seratus ribu.. seratus ribu” bisik aku sambil memutar setereng dan meluncur kereta aku melepasi kedai mamak tadi. Kedai Mamak milik Jamil. Kedai mamak dengan menu spesial nasi lauk ayam bawang.

 

 

Seorang penuntut di Universiti Al-Azhar, Mesir. Suka menulis cerita pendek dan kontot demi memandaikan ummah.