8/10/2023

Nasi Lemak Merdeka

 



Dia budak darjah 4. Tidaklah miskin, tidaklah kaya. Cukuplah sekadar ada. Dia tidak meminjam pensel atau duit dari kawannya walaupun penselnya sudah pendek. Beg berjenama Mydin. Tudung yang comot tu biasalah perangai budak-budak. Kuning sana, hitam sini. Tudung baru atau lama, sama saja tetap juga bertompok. 

Dia budak perempuan yang berselera tinggi. Sebagai budak perempuan darjah 4, dia mampu habiskan dua bungkus nasi lemak lauk ayam goreng. Besar selera dia.

Cuma ketika pulang dari sesi lawatan sekolah ke Muzium negara baru-baru ini, semua budak perempuan beratur di kedai runcit korea tersohor dan membeli itu ini kecuali Amirah. Aku malah menegur. Tidak suka atau tidak ada duit?

"Amirah makan nasi je cikgu.. Mana makan macam yang ini." Kata kawan-kawannya yang lain.

Amirah senyum nampak gigi. Giginya bertompok seperti tudungnya juga.

Tiba-tiba hari ini, ya hari ini pada bulan 8 ini, ada sebuah bungkusan nasi lemak di meja saya dengan nota. 'Untuk Cikgu Munirah. Selamat Hari Merdeka'.

Tulisan budak-budak dengan nama Amirah di bawah nota. Ah hairan. Mengapa Amirah memberiku nasi lemak tanpa disangka-sangka. Bukan hari jadi aku, malah jauh sekali dari hari guru.

Ketika rehat aku terjah Amirah yang sedang makan nasi lemak dengan bungkusan yang sama seperti yang dihadiahinya.

"Itu ibu saya yang masak, saya tolong sikit-sikit. Saya tuang nasi, dan gaul sambal saja. Saya tahu cikgu suka nasi macam saya. Jadi saya tuang banyak sikit untuk cikgu."

Suka benar dia dengan nasi lemak. Terlalu menikmati. Satu suapan penuh dengan putih nasi, merah sambal, kacang yang berkilat serta oren ayam yang menonjol.

"Nasi lemak sedap kan cikgu. Nenek saya suka nasi lemak, atuk saya suka nasi lemak, mak ayah suka nasi lemak. Kita semua suka nasi lemak. Nasi lemak sampai bila-bila!"

Aku duduk depan Amirah. Makan sekali dengan dia. Tak putus cerita dia bangun lebih awal untuk tolong ibunya. Malah sempat mengumpat yang nasi lemak neneknya lebih sedap dari maknya. Katanya lagi, nanti dia nak belajar buat nasi lemak supaya boleh jual. Lagi, dia takut nanti tiada orang akan menjual nasi lemak, sebab itu dia nak buat nasi lemak yang paling sedap. Agar semua orang boleh berbangga dengan nasi lemak dan bukan makanan negara luar. 

Sempat aku baca sekilas pandang nota Amirah yang diselitkan di lipatan nasi lemak hadiahnya.

'Untuk Cikgu Munirah. Selamat Hari Merdeka'.


Seorang penuntut di Universiti Al-Azhar, Mesir. Suka menulis cerita pendek dan kontot demi memandaikan ummah.