Showing posts with label luahan. Show all posts
Showing posts with label luahan. Show all posts

8/18/2013

Selamat Hari Raya 1434 !


Dari kiri : ketiga, bongsu, ayah, saya. (ibu dan kakak tiada dalam gambar) 


Memang bersalah kerana saya belum lagi mengucapkan selamat walaupun sudah masuk raya ke 8. Tambah bersalah kerana ini julang kalinya saya berada di Malaysia setelah 2 tahun di Mesir.

Semua sudah tahu  bezanya raya di Mesir dan di Malaysia. Sama juga beza Ramadan di Malaysia dan Mesir. Jika bagaimana kita merasa pelik dengan kemeriahan orang arab menyambut ramadan, sama juga mereka amat pelik bagaimana kita boleh meriah dengan raya syawal ini.

Bagi saya yang merasa kedua-dua ini, saya rasa amat menarik dan positif. Ramadan yang meriah perlu dan raya yang meriah juga perlu.

Entah, rasanya raya tahun ini antara raya yang paling meriah dalam kebanyakan raya saya.

Tahun ini  raya cukup korum(ahli keluarga semua ada), raya pertama juga saudara di sebelah ayah cukup. Pergi bercuti pd pula, ramai juga yang datang rumah. Alhamdulillah, raya kali ini meriah.

Ambilah satu dari banyak ma'ani raya, syawal. Maani perjuangan, istiqomah, ukhuwwah, solidariti.

Moga anda bergembira dengan kemenangan di sisi dan tidak bergembira kosong. Seolah semua orang bergembira dengan kemenangan Brazil dalam piala dunia, anda pula bergembira dengan hari jadi adik anda. pelik.

Saya gembira kerana seminggu syawal ini saya masih meneruskan tilawah saya. anda bagaimana :)



12/01/2012

kau mengada-mengada



Apabila terasa hidup ini terlalu mengada-ngada .  


Kau masih mempunyai tangan. Mata juga masih boleh lihat dan mulut kau juga masih mampu senyum tawa.

Ah, kau tidak botak seperti orang lain! Rambut kau juga masih ada.

Keluarga kau harmoni tidak seperti jiran yang kau masalah, punyai motor namun keluarga seperti ada tiada

Kawan kau juga ramai di waktu senang dan duka. Kau boleh pilih mahu duduk dengan siapa, borak tentang apa.

Kau sangat beruntung berbanding orang bangla yang 10 jam sehari membanting tulang mengangkat bata.



Ah, mengapa kau terlalu mengada-ngada?

Muka kau tiada cacat, tiada bimbang mahu keluar ke mana.

Duit kau cukup, mampu buat apa sahaja.

Kau bukan perang di gaza, masalah kerja seperti di china, kebulur melarat seperti congo

Kau bebas ibadah tidak seperti di Amarika, fikiranmu terkawal tidak seperti di united kingdom. Islam mu sangat cantik, sangat terjaga.

Malah kau ada kelompok yang kuat yang sentiasa menolong kau.



Tetapi kau terus mengada-ngada bukan?

Ternyata kau sangat lemah. Lembik kata orang kebanyakan

Tidak berani bercita, mahu duduk rumah seperti orang tiada jiwa.

Bukan disuruh mengangkat pedang. Hanya disuruh belajar dan menjadi manusia.

Namun itu pun sudah kau mengada-mengada banyak merungut.



Memang seperti lelaki-lelaki biasa...

Buang rungutan, buang rengekan, usah lagi terasa senang dengan diri kau.

Dunia bukan tempat bermanja.

Tunggulah di syurga kelak, segala manja kau akan rasai.



Khas buat kau yang suka mengada-ngada!

Moga kau terus belajar membuang hingus tangis terasa ingin dimanjai.

Benarkan aku berbuat silap ya rabb! 



10/21/2012

Pak Latip yang 'keras kepala'

2 minggu mengkaji Hasan Al-Banna di Mesir
(Nawfal, Pak Latip, Cikpuan Azzah AR)  





Sejujurnya, Novel sejarah  bukanlah sebuah genre yang saya minati. Malah saya tidak pernah membaca mana-mana novel tulisan Tuan Abdul latib bin latip( mesra dengan Pak latip) . Namun selepas berkenalan dengan Pak Latip, saya ada membelek novel beliau. Sekali lagi saya berkata jujur, memang karya yang sangat menarik, mudah dan sesuai dengan kebanyakan rakyat Malaysia. 

Saya gemar mengistilahkan seseorang yang hebat dengan perkataan 'gila'. Bukan bermaksud sawan tetapi itu adalah sebuah definisi bagi seorang manusia yang sangat hebat, luar dari kotak, kurang tidur, seolah sempurna dan banyak lagi. Bagi saya, Pak Latip adalah salah seorang 'si-gila' . Umum bagi semua orang dan khusus bagi penulis, bakal penulis dan sesiapa yang berhajat besar ingin berdakwah dalam seni pena ini . 

Lebih 30 buah buku dihasilkan semenjak tahun 2007, ada antara buku diulangcetak sebanyak 15 kali, dan sudah ada idea dan sumber untuk menulis 5 buah novel lagi. Novel paling cepat ditulisnya adalah dua minggu sahaja. Turki sahaja sudah 3 kali dijelajahnya. Tidak termasuk Iran, Mesir, Uzberkistan  dan banyak lagi. Semua ini dilakukan ketika usia beliau sekarang 58 tahun. 


Adakah ini tidak cukup gila?


Antara yang paling saya kagumi adalah bagaimana Pak latip berminat untuk menulis novel-novel sejarah dari pejuang islam tanah melayu seperti Tok Janggut dan Siamang Gagap ke tokoh islam yang terkenal seperti Salahuddin Ayyubi dan Alfateh hinggalah musuh islam seperti Mustafa Kamal dan Genghis Khan. 

Beliau menukar genre kerana merasakan novel-novel sastera yang diangkat oleh sarjana sastera tidak dibaca dan tidak terjual. Ada satu novel yang mendapat anugerah tidak habis dijual walaupun hanya 3000 buah sahaja yang dicetak. Apakah cukup jika dari sudut sastera sahaja yang kenyang tetapi dari sudut penyampaian dakwah kepada pembaca tidak sampai? 


Akhirnya beliau menemui kepuasan dakwah dengan novel-novel sejarah. Katanya, ramai yang terkesan dengan tulisan beliau dari sudut akademik juga akhlak, dan pembinaan peribadi. Mudahnya, dakwah lebih sampai dengan novel sebegini. Rakyat Malaysia yang kebanyakan dapat membaca novel yang mudah, menarik sebegini.


Namun, menulis novel sejarah bukanlah satu kerja yang mudah, apatah lagi seorang yang berumur seperti beliau. Duit dan tenaga terpaksa dikeluarkan untuk menjaga ketepatan dan keaslian sumber. Maka, mengembaralah beliau ke merata tempat untuk proses pengkajian sejarah. Cukup mustahil jika tiada keazaman yang padu dan jiwa yang besar. Bagi saya, sangat layak bagi seorang seperti beliau, duduk di rumah menjaga cucu sahaja.


Tetapi inilah contoh penulis 'keras kepala' . Tiada apa yang boleh halang penulis tegar sebegini. Beliau terus bersemangat hingga ke harini untuk terus berdakwah melalui penanya. Saya bukanlah seorang yang meminati penulisan sejarah seperti Pak Latip, namun keazamannya, semangat, keikhlasan beliau menjadi batu loncatan untuk saya khusus dalam bidang penulisan dan umum sebagai pedoman hidup saya. Masih kuat walau umur hampir mencecah 60-an.


Saya doakan Pak Latip diberi kekuatan untuk menyambung tugasnya ini. 


Sangat hebat! sangat gila!



9/22/2012

Metamorphosis si-Nawfal



Pada saat ini, ketika ini, saya mengambil masa sejenak memandang cermin. Memandang diri saya Ahmad Nawfal bin Mohamad Fathel. Mata dibawa dari hujung kaki ke hujung kepala. Oh, sudah dua puluh satu kau Pal.. hidup lagi kau ya!

Nawfal yang dahulu memang saya akui sangat membosankan, budak belajar yang tembam dan memakai cermin mata. Tiada ada pengalaman panjat pokok atau bermain mercun. Apatah lagi mengodek tamiya membuka enjin mahupun menggeledah CPU ayah saya yang sering kawan-kawan saya lakukan. Ini semua saya akui.

Memang saya juga tidaklah pandai bermain violin atau piano. Bukanlah juga yang memakai kot kemas dan berkasut kilat berjenama BATA. Bukan, saya juga bukan glamour begini.

Andai berudu bercita-cita berubah dan ber-metamorphosis menjadi katak yang lebih besar dan hebat, ulat beluncas dengan tabah berevolusi menjadi rama-rama yang cantik lagi diminati ramai, saya juga ada memasang tekad untuk berubah meninggalkan Nawfal yang lama pergi menuju ke Nawfal yang baharu.

Saya bermimpi untuk menjadi seorang yang lain. Menginsafi diri yang sangat membosankan, saya perlu melakukan sesuatu. Tidak ingin jugalah sentiasa berada begitu.

Pernah juga saya mencuba beberapa perkara. Saya tidak kancing butang baju, bersembang galak dengan pelajar-pelajar nakal, keluar malam, mendengar lagu-lagu yang trend, mendekati budak perempuan dan sebagainya. Dari satu sudut, memang saya rasa saya bukan lagi berudu. Kepompong saya makin retak dan diri rasa lebih besar, hangat, dan berjaya.

Memandangkan saya berada dalam suasana yang harmoni islami, dengan keluarga yang bahagia, tarbiyyah dan dakwah yang sentiasa melingkari hidup saya, syukur, saya tidak melencong terlalu jauh. Saya berani jamin, kalau tanpa semua elemen ini pasti saya akan jadi budak yang sangat teruk peribadinya. Ternyata, Allah masih menjaga saya.

Tidak sangka pula perjalanan saya menjadi katak yang sempurna ini sudah sampai ke tempoh kedatangan ke Mesir ini. Sudah setahun pula tu. Bagi saya, di sinilah tempat evolusi saya yang paling pantas. Di tempat yang anda perlu ke hadapan, perlu berani menyahut cabaran, merancang masa depan, hidup yang sangat tersusun dan banyak lagi. Orang lembik seperti Nawfal yang dahulu memang tidak sesuai.

Buat masa ini, cerita saya sampai di sini. tidak tahu apa sambungannya. entah berjaya atau tidak Nawfal mengevolusikan dirinya.

Satu perkara yang saya nampak menarik adalah bagaimana Allah menyusun hidup saya ini. Saya tidak nampak satu pun yang tidak memberi kesan. Saya sangat berterima kasih pada semua.

Terima kasih pada ayah saya yang garang dalam akademik. Tanpanya saya pasti akademik saya akan teruk.

terima kasih pada ibu saya seorang suri rumah. Banyak masa saya bersama dia.

terima kasih pada kawan-kawan baik dalam tarbiyyah. ukhuwwah dan nasihat mereka memang yang paling mahal

Terima kasih juga pada kawan-kawan nakal saya, tanpa mereka tidaklah saya kenal dunia ini dengan lebih luas. Saya belajar banyak perkara dari mereka.

Terima kasih pada sekolah, guru, jiran, keluarga, saudara dan semuanya! dalam banyak sudut mereka membantu saya.

Dari tidak suka bergaul, kepada yang ramah. Dari yang tiada sifat kepimpinan kepada seorang ketua yang banyak ideanya. Yang kanak-kanak kepada kematangan. Seorang yang malas mencabar diri kepada individu yang gila mencabar diri. Dari tidak kesah apa yang berlaku kepada yang tinggi cita-citanya.

Dengan cerita ini, harapnya dapatlah anda memperbaiki Nawfal yang sedang ingin matang dan maju ini. Dia ingin jadi orang yang luar biasa. Tabah menghadapi cabaran, harapan semua, matang dan hebat.

Moga dia sukses dalam metamorphosis-nya dalam menjadi katak yang hebat dan rama-rama yang cantik. Evolusi menjadi manusia hebat harapnya!



5/09/2012

Taman Bunga - ukhuwwah dan hakikat


sekuntum tak boleh lawan sejambak. cantik!


Minggu lepas, kami ahli bait sempat ke taman bunga berdekatan Universiti Azhar dengan niat ingin melunaskan hutang aktivit rumah yang sekian lama tertangguh. Nampak tiada apa-apa,tapi amat bahaya kalau dibiar hutang lama-lama. Takut ada kesan pada ukhuwwah kami.

Langkah kami sangat yakin walaupun hanya berbekalkan 3 paket keropok dan dua botol air. Mungkin disebabkan  kerana niat kami yang awal iaitu ukhuwwah itu sendiri, benda lain seolah sudah tidak nampak sangat.

Subhanallah . taman bunga itu sangat cantik.

Tidak sangka saya di Mesir ada tempat yang macam ini. Bunga-bunga yang sangat ceria seolah bermain dengan  matahari, berkembang cantik dan sihat. Arab pula sibuk bersama keluarga mereka mencari tempat teduh, kanak-kanak bermain tidak menghirau orang lain. Hijau rumput yang merata dan disantuni dengan warna warni bunga.

Penuh aman dan damai.

Kami bergambar dengan penuh girang seolah kali pertama melihat bunga. Fikir dua tiga kali, ada betulnya juga, memang saya kali pertama melihat di mesir ini.

Ahli bait saya pula macam model. Memang ada gaya, tidak sangka pandai juga kawan saya ini modeling. Comel.

Ibrah 1– nilai kekeluargaan/ukhuwwah (relationship)

Melihat keluarga arab yang sangat harmoni, kami sekadar berpandangan sesama sendiri.

“Macamana dari yang kecil sampai ke besar boleh duduk bersama pergi taman macam ini” saya terfikir dan  Saya rasa kami berenam akan tanya soalan yang sama

“memang kita kena belajar dari arab macamana mereka menjaga hubungan dengan orang lain” seorang dari kami melontar idea

Berkejaran adik-beradik arab, lelaki dan perempuan. Yang guling-guling pun ada.

“memang dorang kasar tapi tengok macamana dorang jaga hubungan dengan keluarga, malah orang lain.. lain macam sikit”

Malah ramai yang memandang rendah akan hubungan akrab keluarga, atau manusia sekeliling. Dalam sirah Muhammad S.A.W , baginda memang menujukkan satu akhlak yang sangat cantik kepada manusia sekelilingnya. Daripada tua hingga muda, muslim atau kafir , keluarga atau yang jauh dan sebagainya.

Tersengih saya. Saya harap  ukhuwwah kami kekal harmoni macam bunga-bunga ini semua. Sekuntum bunga tak cantik sangat.  Sejambak bunga baru lebih menyinar dan mendominasi
Ibrah 2 – hakikat sebenar  (ayanqusud dina wa ana hayy?)

 Sampai kepada point besar saya.

Buat kali kedua, kami berpandangan sesama sendiri

“serious lawak”

“mesir.. mesir.. “

Tapi itulah hakikatnya. Hanya orang yang ‘mampu melihat’ akan nampak hakikat ini.

Hampir penat berpusing di sekitar taman, sekarang kami berdiri atas bukit yang sangat hijau. Suasana masih lagi meriah seperti  tadi, budak-budaknya, keluarga, air pancut dan apa sahaja, Namun di situ juga kami boleh melihat permandangan sekeliling taman.

Kami melihat bukit yang tandus, rumah yang tidak teratur, sampah yang bersepah, bunyi hon merata, arab bergaduh….

tetapi tempat yang kami berpijak sekarang  adalah tempat yang indah, teratur, harmoni, hijau, seolah di luar adalah mesir dan kami di dalam seperti di Ireland

Mereka bergembira di dalam namun hakikatnya di luar masih sama. Mungkin ada yang cuba lari dari hakikat mereka. Atau ada yang tidak tahu pun apakah hakikat sebenar nya.

Hakikatnya mesir adalah bumi yang tandus, bising, dan kotor.

Berfoya-foya dalam dunia mereka namun hakikat sebenarnya mereka dalam keadaan yang jatuh, dijajah, teruk dan sebagainya.  

“macam kita juga ikhwah, kita bersenang-senang dalam dunia kita, tapi dalam masa yang sama.. palestin masih dijajah, perang sana-sini, Malaysia dengan kegawatan umatnya.. betul tak?”

Semua mengangguk sambil menghirup saki baki mee cina. Sedikit sesi muhasabah di kedai makan sebelum pulang ke rumah. Sedap, banyak dan murah

“tob’an!  Cmne kita boleh bersenang lenang dalam keadaan dunia yang macam ni?” menyampuk seorang

Hakikat dunia adalah porak peranda, perang, ekonomi yang tidak stabil

Hakikat Malaysia adalah Negara yang dijajah, keruntuhan akhlak, tiada kesepakatan

Hakikat islam di zaman ini adalah dipandang rendah, diperkotak katik, dihina, miskin, lemah, tiada kesepakatan, dipermainkan.

kita sahaja yang merasa aman, sedangkan hakikat seperti yang tertulis memang begitulah.

Sepatutnya kita tidak sanggup tidur kalau sebenarnya, rumah kita sedang terbakar. walau ketika itu, bilik kita sahaja yang tidak terbakar.


Kalau macam ini hasilanya, bolehlah pergi taman lagi! Banyak benda yang boleh dapat 



3/05/2012

Bina diri untuk dunia



dunia kacau bilau

Kadang-kadang mulut ini suka sangat merungut tentang dunia masa kini.

kepala pula pening fikir mana yang betul mana yang salah.

Dahulu, saya ingat sistem sekular sudah cukup menyusahkan. Kini tiba pula liberal yang cuba ikut 100% kepala manusia. aduh, berhadapan manusia yang bertuhankan akal memang payah amat. saya juga masih pening-pening nak faham istilah-istilah kapitalisme, sosialisme, nasionalis, islamist, demokrasi dan banyak lagi.

mana satu yang betul? islam menyokong mana?

tidak cukup dengan itu, kristianisasi, murtad dan serangan yang nampak atau tidak nampak menyerang dari segenap sudut. tidak lupa freemason, illuminati, yahudi, orentalis

Ditambah dengan masalah dalaman seperti masalah jemaah, isu melayu, politik tak berkesudahan, tiada kesepakatan malah kesatuan.

malah dalam gerakan amal, siapa yang perlu kita sokong? gerak kerja mana yang paling utama dalam menyelesaikan masalah? adakah kita berada di jalan yang betul?

Terasa diri amat sengsara dengan semua bebanan perkara ini hatta pernah terlintas dalam diri, bagaimana adik saya nak faham benda berat ini semua? keluarga saya? saya sendiri?

...

Di sebalik ini semua, saya rasa saya ada faham sesuatu.

dunia porak poranda seolah tiada had ini memahamkan saya akan satu perkara penting.

Anda boleh kata apa sahaja, anda boleh pilih apa sahaja, anda boleh lawan dengan apa yang anda ada, tapi sebelum itu selesaikan perkara ini.

ia adalah individu. atau diri

silakan bersembang tentang orentalis atau serangan kristianisasi, kebangkitan dunia atau sebagainya, tetapi tanpa individu yang kemas peribadinya. Maka tidak mampu berbuat apa-apa. Malah saya amat blur ketika saya ligat bersembang itu ini begitu dan begini, dalam keadaan diri saya yang sebegini lemah.

barat dan yahudi tidak mampu dikalahkan dengan kita yang sebegini. Membina diri adalah langkah praktikal paling awal yang perlu dilaksanakan jika benar-benar anda ingin melawan semua ini.

10 peribadi muslim sebagai ukuran.

akidah yang sejahtera , ibadah yang betul , akhlak yang mapan , tubuh badan yang kuat , berdikari , Tersusun urusan , menjaga masa , berpengetahuan luas , Mujahadah melawan nafsu , Manfaat kepada orang lain.


selesai baru boleh lawan. kalau tidak tinggal angan dan sembang sahaja .







12/04/2011

berkembang dan seimbang


Credit to bilal jailani.

Moga anda terus mencintai Allah, rasulnya, para pejuang agama, ibu ayah, kawan-kawan, alam semesta dan juga saya.

tiada entry pada bulan lepas adalah muhasabah besar buat saya. tak tahulah, mungkin banyak muhasabah, atau bertafakur. mungkin sibuk dengan bahan bacaan, mengejar mad'u, atau melatih berbahasa.

Atau mungkin tidak pandai mengurus masa, tiada jadual, banyak main dan sebagainya

mumkin dan mungkin.

namun mungkin masalah besar saya sekarang ini adalah tentang masalah kestabilan. tempoh untuk menstabilkan diri dan post. stabil dalam erti kata:

1) penulisan

Buat masa kini kualiti penulisan saya pada tahap boleh tahan. mampu menulis satu karangan entry dalam sehari.Perkembangan yang sihat berbanding dahulu awal menulis.

Namun tidak seiring dengan perkembangan akal dan pemikiran saya. bagi saya tiada guna.

pandai bersastera, tulisan menarik, follower yang banyak tapi isi tak seberapa dan olahan tiada kualiti serta isu yang dibawa kecil dan tiada kematangan. sangatlah tidak berguna.

kena juga belajar menyesuaikan dengan setiap entry, tak boleh kalau setiap entry terbang sangat sehingga tak nampak apa yang ingin disampaikan. Menyesuaikan bahasa dengan sebaiknya juga agar mudah difahami. Doakan saya menjadi orang yang sangat mantap dalam hal ini.

3) idea dan fikrah

Takut sangat jika terus begini bercerita tentang hal-hal yang kecil dan akhirnya tak kemana, merewang tak tentu arah. Kadang-kadang perlu berat dan juga perlu isu yang semua orang boleh faham.

Bagi saya, penulisan sangat mengesani seseorang. bagaimana Al-quran sangat mengesani para sahabat ketika dahulu. Macamana isi kandungan Al-Qur'an mengubah mereka menjadi sangat hebat. Saya perlu belajar memberatkan isi. susah namun itulah yang perlu. Tidak boleh tidak, corak fikiran saya juga mestilah lebih meninggi dari sebelum. Perlu banyak membaca lebih,lebih besar.

boleh ke?

3) Pembinaan diri
sebelum apa-apa pandang yang ini dahulu.

Boleh jadi juga, jika penulisan yang ditulis sangat hebat, akan tetapi diri yang menulis itu tidak tsiqah dan tidak mempunyai peribadi yang hebat sesuai dengan penulisannya. Pembinaan diri entah ke mana. Ini juga sebabnya saya ke Mesir. Haraplah dengan membina diri, semua yang di atas by default akan meningkat sekali. buat masa sekarang, banyak betul yang perlu diperbaiki. Moga tarbiyyah di mesir akan melajukan proses membaiki diri ini.

mudahnya, sekarang ini saya dalam proses stabilkan perkembangan antara

kualiti penulisan = diri = idea/fikrah .

Saya rasa penulisan ada kekuatan tersendiri dalam era moden sekarang ini. Masih lagi sebagai medium utama selain video, vlogging, perfileman, ceramah dan lain-lain. tulisan saya tidak lain hanyalah untuk membantu agama ini.

tak tahulah post ini sebagai apa, luahan, penjelasan atau janji, atau apa. Tapi bagi saya, biarlah post ini sebagai penambah semangat saya. berjanji dengan diri sendiri untuk terus berdakwah dalam medium ini dan menjaga entry saya agar terus maju dan pergi ke level seterusnya.

Moga diri hebat seperti Syed Qutb, Naquib al-attas, A.Aziz deraman, A.samad Said, Ahmad Ar-Rasyid, faizal tehrani dan lain-lain lagi. membakar ummat dengan pen mereka.

apa-apa pun. doakan lah saya selalu. Moga Allah bersama saya.