Showing posts with label azam. Show all posts
Showing posts with label azam. Show all posts

1/02/2017

Azam Syria


Aku harap kau...


Malam gelita. Si abang menyerahkan jaket terakhir kepada adik perempuannya. Kasihan melihat si adik yang menggigil tidak henti. Baru tadi kelihatan sedikit sembuh dari demam. Jika tidak dijaga, boleh panas kembali. Suhu yang tidak mengenal belas terus menurun hari demi hari. Jika kena nasib, untung baik, dapatlah tidur di kediaman berbumbung. Jika sial, sejuk tambah mencengkam tanpa payung atap yang sudah ranap dimusnah bom.


Abang melihat atas, mahu mensialkan siapa jika hari ini tidur tanpa atap lagi? Dengan saki baki semangat seorang abang, dia menyorok gigil. Siapa sahaja yang mampu tahan suhu di bawah kosong? Sikit lagi salji muncul dan pelarian seperti mereka walau di mana sahaja, Bekaa Valley di Lubnan, Thessaloniki di Greece, atau di Amman Jordan, mereka hanya mengharap agar tidak mati awal. Gagah menahan beku dan mengharap siang muncul lebih awal. Pelukan abang kepada adik dieratkan dengan harapan dapatlah menghilangkan gigil adik yang kian lama kita bertambah.


“Apa sudah masuk tahun baru kah bang?”


Adik memecah sunyi ketika suasana digigit kedinginan malam. Abang tidak mahu menjawab soalan bodoh begitu. Jika ada tahun baru apa ertinya, jika tiada apa ertinya juga?


“Kenapa, kau nak ucap selamat kepada abang? Tahun baru kita tidak pernah selamat dik. Menahan gigil pun kau tidak boleh, ini kau mahu ucap selamat?”


Abang mengambil tangan si adik dan menghembus angin panas dari mulut. Dihembus-hembusnya lagi dan dibiarkan sahaja jari adiknya dekat dengan mulutnya sementara fikirannya melamun panjang. Kerana sayang pada adiknya dia sanggup berjalan beratus kilometer agar adiknya tidak mati diperkosa atau direbut bom. Andailah nasibnya bukan di Turki, maka Turki hanya stesen. Jika perlu, dia perlu terus berjalan hingga ke Greece dan Serbia. Perlu merentas Turki.


Pelukan makin erat. Berat memikirkan cakap-cakap orang bahawa Jerman dan Perancis lebih baik. Ribuan kilometer haru ditempuhi dan paling perit Syria harus ditinggalkan. Perjalanan ini masih dan makin panjang.


“Saya sudah lama tiada azam bang. Jika nanti ada peluang adik teringin nak buat azam. Nanti abang ajarlah adik.”


"...Kerana sayang pada adiknya dia sanggup berjalan beratus kilometer agar adiknya tidak mati diperkosa atau direbut bom. Andailah nasibnya bukan di Turki, maka Turki hanya stesen. Jika perlu, dia perlu terus berjalan hingga ke Greece dan Serbia. Perlu merentas Turki..."

Abang berladung dengan air mata. Seperti gigil tadi, semangat sebagai seorang abang menjaga dari air mata terus meleleh. Hatinya berkocak dimasuki ribuan perasaan dan persoalan. Dia sendiri sudah lama tidak menyambut tahun baru, sudah lama tidak mempunyai azam, sudah lama hilang erti hari, minggu, bulan dan tahun. Masanya seperti sudah mati, tidak berharga lagi. Hanya menunggu masa dijemput ilahi.


“Nanti itu bila dik, bila?” jawab abang dalam hati. Menangis dan menjerit.


12/29/2016

Azam Artis


Tambah lagi setahun Gaza dijajah. Tambah lagi setahun dosa. 


Aku pandang orang sebelah aku. Sama. Ber-vest, membawa buku nota, dan pen yang berada di sisi. Oh, melihat pen orang yang berada di sebelah aku, aku perasan yang aku belum lagi mengeluarkan pen. Aku cari pen dan menyelongkar di bahagian hadapan beg. Jumpa dan aku letakkan di atas meja.

Dia masih tidak perasan aku yang sedang memerhatikan dia. Sibuk bermain telefon bimbit. Ataupun dia seorang introvert tidak mahu dikacau manusia. Aku fikir lagi, dia mesti sudah bosan dengan kerjanya hingga orang sekeliling tidak dihiraunya.  

Bola matanya ke kiri, tepat memandang aku. Tertangkap melihat dia, aku kalih mata aku. Canggung menyelubungi diri.

Dia kalih semula pada skrin telefon bimbitnya dan meluahkan soalan kepada aku, “awak baru di sini? Sebelum ni orang lain kan?”  

Soalan yang pertama kepada aku dan yang kedua diajukan kepada kawan aku dibelakang merangkap jurugambar aku pada sesi kali ini. Aku anggukkan soalan dia.

“Dia kerja siaran lain. Katanya mahu yang lebih dinamik.” Kata jurugambar aku tanpa disoal sesiapa. Seperti mereka sudah biasa kenal.

“Betul lah. Sebab sebelum ni dia ada kata begitu pada aku.”

“Memang sudah lama dia kepingin keluar. Sekarang sampai masa, dia beredarlah.”

“Aku pulak yang macam nak ikut dia, bosan buat kerja jurnalis dalam topik begini, mahu keluar ke arah yang lebih dinamik..” Dia di sebelah aku berkata. Meriah pula bersembang dengan jurugambar aku. “Macam harini, topik bosan. Tentang mamat ni yang aku pun malas nak ambil tahu”

Jurugambar aku sekadar senyum membalas. Ketika itu, sempat pula dia mengetik beberapa gambar untuk mencuba. Gaya mahir ditonjolkan dan dicuba mengambil gambar dari beberapa sudut yang lain. “kerja man. Kerja. Apa boleh buat.”

Segerombolan manusia datang memasuki bilik. Jurugambar aku tanpa disuruh, segerak mencelah di balik kesesakan jurugambar yang lain. Bunyi ketikan kamera dan kerlipan kilat flash memenuhi ruang bilik. Aku bangun mengambil tempat yang sudah sedia awal. beberapa pengurus tempat meminta semua yang berada di dalam bilik agar tenang. Aku sebenarnya berlagak sahaja mahu berasak-asak. Padahal tempat bagi setiap seorang sudah tersedia.

Pakaian susuk tubuh yang duduk di hadapan bilik sangat kemas bersama cermin mata hitam yang tidak dipakai. Dibiar di atas kepala. Badannya sasa pula dan tersenyum-senyum di kilat-kilat kamera. Patutlah terkenal satu Malaysia, gayanya sahaja sudah menonjol.

“Terima kasih, sebenarnya saya tidak berniat untuk adakan pertemuan media. Namun saya rasa ada benda yang perlu saya jelaskan pada peminat, dan seluruh rakyat Malaysia yang mengenali saya. Sampai masanya kini dan untuk itu saya terima kasih sekali pada semua wartawan yang hadir pada hari ini..”

Aku tulis semua apa yang diucapkan. Walaupun ada rakaman, tetapi mencatit adalah kerja wartawan yang paling utama. Lagipun, majikan aku memberitahu berita kali ini panas. Setiap butir yang keluar dari mulut pelakon itu berharga dan penting. Ini gosip panas yang mampu bertahan sebulan.

Bertalu-talu para wartawan mengangkat tangan. Maka benarlah seperti yang diura-ura, gosip dengan pelakon kacukan hingga berantakan kisah cintanya dengan pelakon perempuan lain. Setengah tahun kisah ini digossip di seluruh negara, kini muncul jawapan. Kisah hangat ini tentu mendapat liputan.

“Akhirnya.. selesai kisah bosan ini,” kata jurugambar aku perlahan. “Kau tak nak angkat tangan?" 

“Tanya apa?”

“Itu kerja kau. Kau lagi mahir nak tanya. Aku ambil gambar sahaja.”

Aku amati pelakon itu. Gayanya sedikit berubah dan cuba menunjukkan kekesalan kerana retaknya hubungan cinta yang diimpikan semua orang walaupun selepas itu dia kembali senyum-senyum. Aku ada soalan untuk ditanya. Tetapi seperti tidak sesuai pula.

Wartawan lain seperti sudah bertanya semua kemungkinan soalan. Punca keretakan, faktor orang ketiga, apa perasaan selepas berpisah dan soalan-soalan lain sekitar gosip. Ada soalan dijawab dengan baik dan ada yang pusing-pusing. Keadaan masih tidak ubah seperti tadi, gawat dengan soalan yang bertalu-talu. Pandangan aku kini bersilih ganti antara pelakon itu dan jurugambar aku.  Aku menelan air. Gusar dengan wartawan lain yang lebih mengasak dan mahu mendapat berita.

"Cepatlah. Nanti orang ingat kita ni tak buat kerja pula." 

Aku layu mengangkat tangan. Mengharapkan pengerusi majlis tidak perasan aku dibalik belasan tangan yang lebih menonjol.

“Baik, awak yang dibelakang.”

Aku jadi gamam. Aku?
Semua mata memandang aku termasuk pelakon kacak itu. Jurugambar aku menyiku agar aku cepat. Jika tidak, soalan akan diberi pada wartawan lain.

“Saya ada soalan.. err.. err...” aku bingung. Kehilangan akal dalam situasi kali pertama ini, lagi dengan pelakon ternama.

“Azam.. Apa azam 2017 tuan pelakon? Selepas tuan sudah berpisah ini apa rancangan tuan. Mahu bercinta lagi dan sekali lagi menggegarkan Malaysia dengan gosip tuan?”

Melihat seperti dia tidak faham, aku sambung bertanya lagi, “Maksudnya apa perubahan tuan. Jika 2016 tahun cinta, adakah 2017 tahun cinta juga?”

Jika tadi ada mata yang tidak dikalihkan pada aku. Kini semuanya, semuanya tepat memandang aku. Kerlingan keras dan tajam memanah aku bertubi-tubi. Aku melihat pelakon itu cuba untuk menjawab namun gagap-gagap sahaja yang terbit. Soalan azam memang sukar jika kau tidak matang. Aku tiada soalan kecuali itu.

Jurugambar aku menutup muka. Malu dan menyesal menyuruh aku bertanya soalan.

“Terbaik lah. Aku tak pernah lagi dengar soalan begitu di sidang media. Kau orang pertama!”

“Nanti kalau ada jawapan daripada dia tentang azam, kau beritahu aku ya.” 

Itu ayat terakhir  sebelum dihalau keluar dari sidang media sambil dimarahi jurugambar aku dan diherdik peminat-peminat. Kau tidak pandai membuat azam, aku pula yang salah?