10/01/2013

Certot : Semangat Neslo



Orang Mesir yang terus semangat 


Neslo ais yang berada di atas meja menarik pandangan semua. Semua memandang gelas itu ketika pelayan meletakkan di atas meja. Dengan lelehan air di dinding gelas ditambah dengan bunyi ais yang dikocak tuannya, Atef,  pasti mengundang selera. Saya yang duduk di sebelah atef juga teringin meneguk neslo ais kepunyaannya. Tapi apakan daya, Atef baru datang. Segan pula ingin memintanya.


“Kak, beri saya lagi satu. Kalau boleh yang sejuk dan pekat begini, neslo ais” minta Ustaz kamarul kepada pelayan. Ustaz Kamarul senyum kambing kerana mungkin dia berasa salah menyusahkan pelayan itu menghantar neslo dua kali.


“Baik, kita sambung perbincangan kita. Oh, apa soalan kamu tadi?” Tanya ustaz kepada Sulem.


Sulem senyap. Dahinya berkerut mengingat kembali apa soalannya tadi.


“Dia lupa sebab nampak neslo ustaz..haha” Syed di hujung meja mengusik Sulem. Pecah tawa kami melihat Sulem yang masih lagi cuba mengingat apa soalannya.


“Seingat saya soalan Sulem begini, kenapa kita perlu ambil tahu tentang isu mesir ini sedangkan mereka jauh. Kalau dekat dan hampir dengan kita mungkin boleh terima lagi…” saya bersuara cuba membantu Sulem.


Berdehem sedikit ustaz Kamarul “Bagus soalan kamu Sulem dan terima kasih kepada Hatem kerana ingat soalan”. Ditelan air liur dan menyambung, “Seperti yang ustaz beritahu kamu di permulaan tadi, kita perlu ambil tahu dan kasihan dengan mereka kerana mereka adalah saudara kita. Mereka itu ibarat ibu dan adik kamu sendiri… “


Ketika memusingkan komputer ribanya untuk dihadapkan kepada kami, beliau menyambung “Lihat,ada video ustaz nak tunjuk kepada kamu. Ambillah iktibar dari video ini dan rasai penderitaan mereka”


Dengan dum dam bunyi daripada video dengan selingan takbir memang membangkitkan semangat. Tembak sana sini, percikan darah. Walaupun memang tidak faham tapi memang geram. Paling geram apabila kelihatan budak-budak kecil ditembak. Tidak kurang video penembak tepat menembak para pendemo hingga pecah kepala.


Sambil menghentak-hentak meja, ustaz Kamarul memberikan pandangan, “kamu tengok betapa kejamnya jeneral Fatah As-Sisi. Tidak kira siapa, dibantainya. Tidak marahkah kita? Tidak geramkah kita?”


Kami mengangguk-angguk. Benar, kita kena geram dan marah kepada Jeneral As-Sisi.


“jadi, yang masalah konspirasi-konspirasi yang orang biasa cakap tu apa ustaz?” Atef bertanya sebelum menyedut air neslo


Ustaz Kamarul menggeleng. “kamu tak perlu tahu tentang hal yang rumit seperti itu. Cukuplah kamu tahu zalimnya mereka dan betapa sewenang-wenangnya mereka membantai umat islam!”


“Orang kata itu yang penting ustaz, kena faham isu ini bukan masalah demonstrasi biasa, tetapi ini adalah konspirasi daripada Amerika” Atef menyambung dengan yakinnya.


“Tidak perlu kamu faham hingga ke tahap itu. Kamu semua masih di bangku menengah. Budak sekolah lagi, yang penting kita perlu tahu bahawa Sisi telah melakukan kezaliman dan kita perlu marah kepada mereka” sambil mengetuk meja makan sekali lagi. Kali ini lebih kuat dari tadi.

PRAANNNG!

Semua terkebil-kebil memandang gelas yang pecah bersama neslo yang pekat di lantai. Dalam sepi kejutan itu, yang kedengaran hanyalah bunyi takbir yang daripada video yang dibuka ustaz sejak tadi. Tidak sangka ketika ustaz mengetuk meja, ketika itu juga pelayan meletakkan neslo ais di atas meja.


"Mohon maaf kak, tidak perasan pula yang kakak sedang menghantar neslo. Saya sedang semangat bercerita tentang isu Mesir pada budak-budak ni" Kata Ustaz Kamarul.  Sebenarnya memang semua orang perasan kakak pelayan itu sedang menghampiri. Tidak sangka pula Ustaz Kamarul tidak perasan.


Saya mengharapkan katanya akan berakhir dengan “janganlah jadi seperti saya, semangat sahaja yang lebih. Lihat, habis gelas pecah dan saya tidak dapat minum neslo saya yang sedap ini”


Rupanya,


“Ah, beginilah rupanya askar As-Sisi. Memang seperti gelas yang pecah. Hanya kerosakan yang berlaku!!!”


Saya tepuk dahi sahaja.


Seorang penuntut di Universiti Al-Azhar, Mesir. Suka menulis cerita pendek dan kontot demi memandaikan ummah.

1 komentar so far

mintak izin ambil artikel, nak masukkan dalam web isma mesir