4/21/2021

Hujan Mungkin Reda



Hujan menitis mengena al-Quran yang dipegang Karim. Dia, al-Quran yang dipegangnya, gerai, rakan seniaga serta semua yang sedang menjual di situ basah dek hujan yang tidak menunjukkan tanda henti.
Selepas seminggu, Karim lali dengan perangai hujan yang tidak menentu. Hanya semalam cerah sebentar. Hari lain hujan dan hujan. Ada ribut, ada renyai dan ada juga yang sejam tidak henti-henti.
Karim pura-pura tidak kesah dengan apa yang berlaku dan terus membelek mashaf. Dia terkumat-kamit membaca al-Quran. Antara semua di situ, Karim sahajalah yang membaca al-Quran. Nasiblah al-Qurannya jenis kertas kilat, boleh lah dia membaca dengan apa ada.
Haris, rakan niaganya terus berdiri walaupun tiada pembeli dari tadi. Karim memandang Haris dengan kasihan. Mukanya kosong tanpa emosi. Termenung sahaja melihat hujan. Haris sudah melabur banyak malah dia yang bersemangat untuk membuka semula Bazar pada tahun ini. Dua tahun lepas jualan karipapnya laku. Karipap jenis besar dengan pelbagai inti rupanya masih lagi dicari orang. Sama
hebat
dengan roti john dan martabak.
Namun itu dua tahun lalu. Ketika sebelum pandemik covid.
Perniagaan memang ada untung rugi. Namun ini sudah lebih dari jangkaan.
"Marilah kita balik. Aku rasa lama hujan hari ini" Kata Haris. Lemah dan layu sambil memerhati gerai sebelah yang sedang mengemas barang.
"Sabarlah, kita tunggu mungkin hujan reda. Kadang-kadang hujan lebat boleh berhenti tiba-tiba.”
Haris memandang Karim, “Aku kasihan dengan kau sebenarnya.”
Karim menutup mashaf. "Aku?"
”Ya. Tempat kau bukan di bazar ramadan. Kau Imam, tempat kau di Masjid,” ujar Haris. “Kalau tahun-tahun lepas, mesti sudah berjuz-juz bacaan tilawah kau. Tahun ini, dapat hujan saja.”
Bukan baru mereka berkawan. Mereka sudah kenal benar antara satu sama lain. Seorang kaki niaga, seorang lagi imam. Haris sudah menjual kredit telefon daripada zaman sekolah lagi. Karim pula hafiz al-Quran. Menjadi imam tarawih dan mengajar al-Quran.
Tahun ini istimewa. Haris ajak-ajak ayam untuk bersama membuka gerai di bazar ramadan. Tidak sangka Karim menyambut. Karim bukan sahaja tiada pengalaman malah tak mampu memberi modal yang banyak.
Hujan masih sama. Bising. Tiada bunyi lain melainkan bunyi manik hujan menerjah bumi dan mengena apa saja. Payung gerai mereka, jalan tar, penjual yang berkemas menghantar barang ke kenderaan dan seorang dua pengunjung bazar.
”Baca al-Quran ketika hujan di bazar lebih seronok dan hidup. Dan, apalah erti tilawah berjuz-juz, tetapi kawan sendiri lencun mencari rezeki.”
Haris mendengar tanpa balas. Sekadar mengangguk-angguk.
“Sabarlah.. Kita tunggu mungkin hujan reda.”

Seorang penuntut di Universiti Al-Azhar, Mesir. Suka menulis cerita pendek dan kontot demi memandaikan ummah.