6/07/2022

Buku atau telur?




Orang ramai yang sangat. Dewan terlalu sesak untuk menampung sekalian umat manusia. Niat aku untuk melihat buku hanya menjadi melihat manusia sahaja. Ini perasaan yang sama ketika melihat kereta penuh di hadapan sekolah hingga trafik sesak. Aku seronok melihat mak ayah menghantar anak ke sekolah tetapi dalam masa yang sama menyumpah pada trafik yang sesak. Sama seperti di pesta buku tahun ini. Seronok melihat manusia berbondong-bondong ke pesta buku akan tetapi sedikit hampa kerana lebih banyak melihat manusia berbanding buku. 

 

Kawan aku, Karim mengikut rapat dari belakang. Karim dengan beg galas yang menanti penuh. Sudah tiga buku dibelinya dan kelihatan Karim masih belum puas. Tadi aku yang mengekor Karim dari belakang, menuju ke reruai sasarannya. Kini dia pula mengekori aku, menerjah lautan manusia mencari buku. 

 

"Kuala Lumpur memang gemar bersesak-sesak ya" kata aku. 

 

"Daripada banjir air, kan lebih baik banjir manusia di pesta buku" Balas Karim.

 

Kami berjalan lagi. Memang aku di hadapan, tetapi Karim yang terjumpa buku yang keempat, buku Perbandaran Kolonial & Penghapusan Bangsa Melayu di Malaysia terbitan IRIS Institute. Karim mahu mengisi novel tulisannya dengan input Kuala Lumpur yang dikoloni tanpa sedar.


Aku masih kosong. Sekadar membelek saja.

 

“Kau lapar ke?”

 

Tanya Karim melihat manusia yang turut berkerumun di trak makanan. Kami pun sekadar sarapan kopi pagi tadi. Alasan aku takut sakit perut pula di dalam tren jika bedal nasi lemak.


"Buku kan buat kita kenyang" 

 

Balas aku. Acah-acah. Karim menjeling jelek. Iyalah memang peminat buku tetapi perut masih perlu diisi juga.

 

“Cakap bukan main berapi. Buku masih belum dibeli lagi” ejek Karim.

 

Ya memang benar. Bukan tidak jumpa yang berkenan cuma rasa berhati-hati dari membeli buku sekadar masyhur. Tahun ini mahu beli yang memang berbaloi setiap ringgit. Beli untuk baca. Itu dalam hati aku. Yalah, telur pun sudah naik harga.

 

Karim pun sudah hilang. Kami sengaja berpisah kerana genre buku kelapan Karim jauh dari genre aku. Aku mahu membeli karya kreatif. Karim mahu membeli buku falsafah Prof Wan Mohd Nor. Ya, dia sudah buku yang kelapan dan aku kekal kosong. Kami berpisah kerana aku bingit mendengar bebelan Karim yang tak sudah-sudah menyuruh aku membeli.


“Buku kan buat kita kenyang”


“Kau boleh dapat anugerah pembelek paling banyak di pesta buku tahun ini” ejek Karim sebelum pergi menyelam di lautan buku. Dan manusia.

 

Aku tiba di reruai sasaran. 


Empat buku sudah berada dalam bakul aku. Aku mencari yang kelima untuk melengkapkan jumlah 5. Lima buku dengan harga RM20. Ya ini yang aku cari. Buku-buku lama yang masih sedap dibaca, tidak terpengaruh dengan media massa dan cukup untuk memberikan kepuasan kepadaku. Potongan harga besar yang mesti dibeli.

 

Selesai menemui buku kelima, himpunan cerpen dari SM Zakir berjudul Bidadari Burung, aku beratur melihat khalayak ramai yang masih gawat dengan buku. Gawat, bising dan bingit ini adalah keindahan yang sebenar.


"Harga asal buku ini RM 85. Pesta buku turun harga hingga RM 50. Boleh la bu" 


Lucu pula melihat drama si anak berunding harga. Tentu sekali ibunya tewas dan perlahan mengeluarkan sekeping not RM 50 kepada anaknya.

 

RM 50 yang berat itu sama nilai dengan telur, beras dan ayam yang semakin mahal saban hari.


Namun buku yang harganya RM 50 mungkin tidak mengenyangkan perut. Tapi tuaian hasilnya kemudian hari. Bukan perut saja perlu diisi tetapi minda dan cara fikir anak-anak ini juga harus dibentuk. 


“Semua ini RM 20 tuan” kata penjaga kaunter

 

“Nah kak..” Kata Karim yang menghulur not RM 20 kepada juruwang.

 

Mata aku terpacak kepada Karim yang entah mana datangnya terus membayar buku-buku aku ini. Aku cuba menolak juga tetapi juruwang lebih awal sudah mengambil duit RM 20 dari Karim. Malah Karim berkeras. Aku hanya mampu terpana dengan budi pekerti kawan aku Karim ini. Terbit rasa terharu.

 

Kau buat beli makan RM 20 kau tu. Aku tahu kau lapar

 

Kami mengisi perut yang benar-benar kosong ketika perjalanan pulang. Aku makan nasi berlaukkan telur saja. Cukuplah hari ini lauk telur dan lima buah buku yang dibelanja Karim. Bagi membalas jasanya, aku tolong mengangkat plastik berisi buku-bukunya. Entahlah tidak terkira buku dibeli Karim. Untung kau Karim.  






Seorang penuntut di Universiti Al-Azhar, Mesir. Suka menulis cerita pendek dan kontot demi memandaikan ummah.