6/17/2022

Ustaz itu gay ke?



"Kau rasa salah ke. Alang-alang bulan ini bulan 'kita'. Tapi aku tak berani. Dia lain," luah aku pada Noah.

 

"Kalau kau yakin apa salahnya. Aku tak rasa dia akan canang kau satu dunia. Dia kan orang baik.."

 "Aku harap begitulah. Lagipun dia kan ustaz."        

Memang benar. Menyukai sudah menjadi satu kepayahan seorang manusia. Inikan pula bila kita menyukai orang yang mungkin tidak suka kita. Entah mengapa kita dicipta begitu. Suka kepada perkara yang tiada, yang sudah pergi, yang jauh-jauh. Mengapa entah kita terlalu adventurous. Lagi-lagi dalam hubungan antara insan. Hendak yang susah-susah saja. Bukan tiada yang serupa dengan kita tapi mungkin itulah namanya selera.

 

 Ataupun jodoh?

 

Tapi takkan jodoh kerana dia manusia biasa dan aku pula manusia versi berbeza. Tak boleh nak menyalahkan selera, bagi aku itu tidak beberapa tepat kerana andai kata aku gemar makan burger, tiada siapa boleh paksa aku untuk tidak menyukai burger.

 

Apa-apa pun namanya Ustaz Solaiman. Entah sedar atau tidak, namanya serupa dengan pelakon watak dalam filem EternalsHaaz Sleiman. Ah, watak yang menjadi kebanggaan komuniti muslim gay. Teringat pula ketika menonton Eternals, terbeliak mata aku melihat kejayaan komuniti kecil gay muslim kami diangkat Disney dan ditonton di seluruh dunia.

 

 "Wahh.. muka dia arab-arab dan dia gay! Muslim Gay dalam cerita Disney" jerit kecil aku dalam wayang.

 

Memandang Ustaz Solaiman, sama sahaja seperti memandang Haaz Sleiman. Jambang nipis-nipis manis, tona kulit sawo matang. Dada bidang mampu bikin siapa yang melihatnya tidak tenang. Menambah rencah lagi, akhlaknya mulia serta tutur katanya yang rapi.

 

Melihatnya, bersembang dan dekat dengan dia menimbulkan rasa asyik. Tapi dia ustaz. Ada ke ustaz mampu menerima aku?

 

 "Tak cuba mana nak tau" Kata Noah. Sahabat baik aku dalam komuniti gay muslim ini.

 

Noah berasal dari Luton. Bandar yang berdekatan dengan London dimana komuniti islam konservatif yang kuat. Noah juga tersakiti kerana 'diri gay' nya disembunyi hinggalah dia berpindah ke Vauxhall dalam London. Di situ dia bebas menjadi gay tanpa ada selindung. Bagi komuniti seperti kami, ini sama tahap seperti hijrah. Meninggalkan kampung halaman demi kebaikan kepada kepercayaan kami.        

Sampai pada harinya, dan aku masih lagi kerap bertanya pada diri. Berlalu hari demi hari aku cuba untuk mengumpul kekuatan tetapi masih lagi tidak ada. Noah terus memberi semangat. Katanya dia mahu menghadiahkan aku baju jika aku pergi mengaku cinta kepada Ustaz Solaiman.


Makin hari makin gusar. Namun setiap hari juga aku terserempak dengan Ustaz Solaiman.

Kami kerap bertemu kerana jabatan kami berdekatan. Sebagai penasihat syariah di syarikat pelaburan kami, dia bertanggungjawab dalam menasihati kumpulan kami dalam memastikan segalanya mengikut prinsip syariah. Dia kerap menegur aku sama ada dalam urusan kerja atau luar kerja.        

 “Cantik rambut kau warna ungu” Tanya Ustaz Solaiman. “Buat di mana?”

 “Er... Saya tiada salun rambut kegemaran saya. Mana-mana pun sama.”  

 “Ha? Bagaimana?"   

 “Tak.. Tak, saya buat di KLCC. Asalnya tiada niat nak buat. Tapi dah ternampak, jadi buat sajalah. ”

 

Dia mengangguk saja. Tidak ada yang berubah di muka selain meneruskan senyuman nipis sambil ralit membancuh kopi segera. Gula yang ditaruh nampak cukup-cukup. Biasanya dia suka yang kurang manis. Tapi kali ini nampak banyak pula yang diletak.           

 “Ustaz mesti tak suka saya warna rambut begini kan” Tanya aku. Mana tidaknya, ada hari warna ungu. Ada hari warna biru. Pernah juga hijau.   

 Dia menambah panjang senyumnya sebelum mengesip kopi yang dibancuh tadi. 

“Janji kau solat. Benda lain belakang cerita” balas Ustaz Solaiman. "Aku tak kisah rambut kau, janji kau solat." 

Ustaz Solaiman berlalu masuk ke bilik mesyuaratnya dan sambung berbincang. Melihatnya dari balik cermin kaca memang buat aku kagum. Karisma, kacak dan berbudi. Ketika mesyuarat itu, nampak dia sempat bergelak tawa dalam keseriusan bermesyuarat dengan ahli lembaga pengarah.

 

Dia terpandang aku yang sedang lagut memerhati dia. Nampak seperti dia meminta izin untuk keluar sebentar sekali lagi dan menuju ke dapur pejabat. Ya, dia menuju kepada aku.   

Berdebar pula dibuatnya. Sudahlah dia perasan aku memerhati, atau dia mahu menegur aku kerana lama di dapur. Atau ada kerja yang belum selesai? Sudah selesai rasanya sebelum dia masuk ke bilik mesyuarat tadi.

 

 “Asar nanti kita solat jemaah di surau,” katanya yang sedang memegang tombol pintu. “Aku tunggu. Jangan tak datang pula.”

 

Pantas Ustaz Solaiman keluar dari bilik. Aku memanggil nya kembali. 


"Ustaz!" 

Ustaz Solaiman berhenti dan berpaling kepada aku. Sekali lagi dan sentiasa, aku akan gemuruh setiap kali bertentang mata  dengan dia. Aku teringat Noah, kata-kata semangatnya dan hadiah yang aku bakal dapat jika kali ini aku meluahkan hasrat terpendam. Sekian waktu ini aku mengumpul semangat, membaca tulisan komuniti LGBT bagaimana mereka memberanikan diri dan lagi ketika saat pertama begini. 

 

"Ustaz.. saya." Darah gemuruh aku tiba lagi dan mencanak-canak. Ustaz Solaiman pula masih menunggu dan dia sedang bergegas masuk ke bilik mesyuarat. 

 

"Ustaz.. saya selama ini.."  Kata aku. Perlahan dan tergagap-gagap. 

 

"Tidak mengapa. Kau solat macam biasa. Atau tentang rambut kau? Aku rasa rambut kau ni masih lagi sah kalau berwuduk. Kalau tak pun, jangan risau. Solat dulu."

 

Gelabah aku belum pergi. Di saat hawa dingin yang masih berfungsi baik ini aku berpeluh. Ustaz Solaiman benar-benar mulia orangnya. Entah, dari ajakan ke solat atau peribadinya atau entah apa yang berlaku fikiranku menjadi kosong.

 

"Ya Ustaz. Asar nanti kita jumpa." Itu sahaja yang mampu aku katakan.

 

 

Seorang penuntut di Universiti Al-Azhar, Mesir. Suka menulis cerita pendek dan kontot demi memandaikan ummah.