11/06/2013

Certot - Tidak Cukup Pandai

Tags


"stupid is as stupid does" 
“Ibu masih ingat janji ibu pada Ajid?”

Tulus dia memandang ibunya. Dalam hati dia yakin, tiada ibu yang tidak sayang anaknya. Tiada ibu yang mungkir janji anaknya.

“Ibu mesti ingat janji ajid dulu. Awal tahun dulu”

Ibu melirik senyum. “Ingat. Mesti ibu ingat. Ajid anak kesayangan ibu. Takkan ibu lupa janji ibu pada Ajid”

Dia memandang ayahnya pula. Seperti dia memandang ibunya, begitu juga dia memandang ayahnya. Dia seluruhi muka ayahnya. Sekali itu, dia hiba. Ayahnya banyak berkorban untuk dia. Berbanding kawan yang lain, dia seperti sempurna. Layanan diraja dari ibu bapa.

Ibunya memalingkan muka memandang muka suaminya. Tangan diangkat menuju tangan suaminya dan digenggam. Genggam demi anak kesayangan.

Ayahnya menghembus nafas. Mata ditala ke isterinya dan ke anak kesayangannya, Ajid. Suasana tenang walau tiada burung yang berkicau, atau angin yang menghembus sepoi-sepoi. Yang ada hanya dia, isterinya dan Najid. 

Dia memandang ke atas, ke langit. Menembusi atap bumbung, dia bersyukur kepada Tuhan kerana dianugerahi keluarga yang bahagia sebegini. Alhamdulillah diulang beberapa kali.

“Ayah tak ingat la Ajid…” perlahan berkata. Matanya merenung mata ajid sedalam mungkin.

Ajid mendongakkan kepala dalam keadaan mata yang dibulatkan lebih awal. Cuba menutur namun mulutnya seolah disekat. Ibu perlahan-lahan melepaskan genggaman dari suaminya..

“Apa ni bang? Tak kan abang dah lupa janji kita pada Ajid, anak kita!?”

Senyap. Ajid masih melopong tidak terucap. Ibunya yang tadi tenang kini tidak keruan. Namun, ayah nampak yakin dan cuba mengungkapkan sesuatu.

“Ayah tak ingat…  tak ingat bila ayah tak tunaikan janji ayah pada ajid” dalam renungan tajam yang penuh kasih sayang itu, dia melirik sebuah senyuman manis. 

Lengannya ditepuk kuat di bahagian tepi “abang ni. Suka buat macam tu. Isy.” Isterinya memalingkan badan membelakangi suaminya. "tak suka. benci... "

Suaminya gelak sakan daripada tadi. Memujuk-mujuk isterinya yang memuncung. Ajid menutup mulut menahan gelak melihat aksi manja ibu bapanya. Meriah pula di tengah-tengah dewan kantin sekolah pada hujung minggu. Ramai ibu bapa hadir melawat anak-anak mereka, memberi semangat baru untuk menghadapi peperiksaan yang tidak lama lagi.

“Tapi Ajid mesti ingat janji Ajid pada ayah dan ibu” dalam memujuk, ayahnya sempat berkata. Pizza yang dihulur kepada isterinya sebagai alat memujuk dibiar tergantung.

“Semestinya” kening diangkat sebelah dan menyambung, “jangan risau, Ajid sudah bersedia semuanya. Cikgu-cikgu juga menjangkakan Ajid akan mendapat Straight A+  dalam SPM nanti”

Ibu dan bapanya saling tersenyum. Ibunya tidak lagi merajuk mendengar kata-kata semangat dari anaknya. Senang hati.

Banyak topik dibuka sepanjang perbualan mereka di kantin sekolah. Sesekali mereka ditegur oleh kawan Ajid yang lalu-lalang di situ. Mereka memuji-muji Ajid di hadapan ibu bapanya. Kata mereka ajid sangat cemerlang di dalam kelas. 

Malah, mereka juga memuji suara sedap Ajid apabila sesekali ada pertandingan bakat di sekolah. Najid memang terkenal dengan suara lunak, tinggi jika Najid tarik. Dalam hati terasa untung pula mempunyai anak seperti Ajid. Sudahlah bijak, pandai menyanyi pula.

“Belajar betul-betul ya Ajid” kata bapa Najid sambil mengusap kepala anaknya. Mereka di tangga aspura, menghantar najid. Tidak boleh lama-lama melawat, Ajid mahu sambung belajar

Ajid tersenyum.

“Ibu mesti pegang janji ibu pada ajid”

Ibunya menoleh ke belakang dan menjerit “ibu janji, kalau ajid dapat keputusan cemerlang, ayah dan ibu akan bantu ajid masuk akademi fantasia!

Ajid mengepal penumbuknya. Dia mesti belajar rajin-rajin. Dia mesti mendapat keputusan cemerlang. Dia tahu misi ini bukan senang namun ianya bukan mustahil. Waktu tidur sudah tamat, sekarang masanya untuk bangkit dan berusaha!

“Aku mesti dapat keputusan cemerlang untuk masuk Akademi Fantasia. Aku janji, aku mesti masuk!

"Demi akademi, aku belajar!"


Itulah matlamat Ajid. Habis budaya barat disapu. Tidak cukup itu, korea juga disumbat-sumbatnya. Kasihan 



Seorang penuntut di Universiti Al-Azhar, Mesir. Suka menulis cerita pendek dan kontot demi memandaikan ummah.