12/12/2016

Meminggir Nabi


Qabasat min ar-Rasul 


Rupanya mencintai nabi juga mempunyai uzlah!

Saya menemui bahawa dalam mencintai nabi juga ada uzlah. Walaupun sebelum ini saya sudah membaca buku ini, cuma lebih terasa dan faham dengan apa yang disebut penulis. 

Buku ini dibaca bersempena maulid nabi. Ianya bacaan tajdid. Tajdid sirah dan perjuangan nabi. Adapun tajdid sirah bukanlah suatu yang bersempena, sebagai seorang muslim, sirah itu hidup. Jika tidak, kitalah mangsa yang disebut penulis iaitu meng-uzlah-kan sirah.

Uzlah di sini bermaksud meminggirkan diri. Seperti yang dilakukan nabi ketika sebelum menjadi nabi. Nabi beruzlah di gua hira menginsafi umatnya yang teruk. Di dalam buku ini uzlah yang dinyatakan bukanlah uzlah secra fizikal. Namun yang disebut di sini uzlah wijdaniah, uzlah perasaan. Lebih mudah lagi ianya peminggiran sesuatu hanya pada perasaan dan dalam tanpa diterjemah pada kehidupan.


Kecintaan Sekadar di Hati


Mukaddimah buku ini tidaklah begitu panjang sebenarnya. Cuma ia hadir tepat ketika saya membacanya. Maka disitu timbul niat untuk berkongsi.

Cintanya umat ini pada nabi memang begitu membuak-buak. Kita sendiri sebagai rakyat Malaysia mengadakan perarakan pada setiap tahun. Jika di Mesir, suasana ‘mencintai nabi’ lebih jelas. Meski tiada perarakan, namun negara diberi cuti. Lebih jelas lagi laungan ‘sollu ala nabi’ kerap terdengar seperti ketika berlaku pergaduhan, lekap kereta, malah peminta sedekah di dalam bas menggunakan kalimah itu untuk meminta perhatian.

Nabi itu di mana-mana. Begitulah mudahnya.

Penulis membandingkan dengan kefahaman  sirah di zaman ini dan dua khalifah terawal. Menceritakan bagaimana sunnah itu dijasadkan dan difahami pada awal zaman Abu Bakar dan Umar al-Khattab kemudian pudarlah dengan berlalunya masa.

Namun beliau menafikan bahawa faktor utama mereka itu hebat bukanlah mereka pernah melihat nabi secara lansung tetapi berterusannya dogma dan manhaj tarbawi yang diterjemah baik
oleh Abu Bakar dan Umar. Mudahnya sirah, sunnah dan nabi itu tidaklah di hanya kecintaan. Perbuataan dan kata-kata (Qabasat) nabi diterjemah pada kehidupan dan pemerintahan.

Dan berlalulah zaman, pudar dari semasa ke semasa dan hanya meletakkan islam itu hanya pada nama dan sunnah itu hanya pada hati sahaja hinggalah barat mengambil alih pemerintahan dunia.

 
Hakikat mencintai nabi 


Maka di situ terbit soalan daripada penulis; Bagaimana kita boleh membuang tokoh yang menggerakkan dunia, tidak pernah henti walau sebentar ini dipinggarkan dari realiti dan dibiarkan hanya untuk dicintai sahaja?

Adakah berhak nabi itu dihati kita sahaja, hanya perasaan kecintaan sahaja tanpa praktikaliti, tanpa membawanya hidup di kehidupan seharian kita. Adakah nabi hadir untuk dicintai sahaja?

Penulis malah menambah, nabi ini bukanlah seperti orang filsuf yang sekadar teori dan jauh sekali seperti ahli sihir dan ahli syair yang hanya pandai berteori. Tetapi nabi dimisalkan dengan orang yang membawa cangkul dengan tangan sendiri, memecah kebatilan yang sedia ada. Selepas itu membina semula dengan batu-bata hinggalah terbina semula binaan haq juga dengan tangan sendiri. Bukan itu sahaja, dia juga makan bersama manusia disitu, berperang bersama, hidup dan bersahabat, dan menjadi qudwah buat umat.

 
Nabi bukan teori, tetapi tokoh yang wujud, hidup dengan umatnya. 


Dia itulah Nabi kita. Sangat praktikal dan realiti,

Namun umatnya hanya sekadar mencintainya. Sekadar di hati!  






Seorang penuntut di Universiti Al-Azhar, Mesir. Suka menulis cerita pendek dan kontot demi memandaikan ummah.

1 komentar so far

Moga kita dapat beramal atas apa yang kita katakan.

Salam selawat ke atas junjungan Nabi Muhammad SAW