![]() |
Contoh Azhari (lepasan Azhar) yang comel dan hebat |
Aku melihat jari-jemari aku bermain. Kaki aku sudah tidak mampu duduk diam. Hampir setengah jam berlalu tetapi masih lagi tiada apa yang berlaku, jemu. Aku memerhati di luar bilik, manusia mundar-mandir di lorong, dengan pelbagai jenis seragam. Dari berpakaian pejabat hingga yang serupa cef. Aku pura-pura senyum walaupun tidak ramai yang memerhatikan. Mungkin mereka sudah lali dengan prosedur begini. Orang seperti aku yang datang ke bilik ini sudah terlalu ramai bagi mereka.
Dan aku mellihat dia, seorang lelaki botak separuh.
Hanya sebahagian rambut belakang sahaja yang masih ada. Dia sedang berbincang
dengan seorang perempuan yang penuh di tangannya fail dan kertas. Mereka
berbincang dan memerhatikan aku. Sekali lagi mereka berbincang dan memerhatikan
aku. Aku syak dialah yang sepatutnya mengurus tentang urusan aku.
Aku mengulang pandang mereka berdua tetapi
mereka sudah hilang. Baru sebentar tadi
aku melihat mereka di situ kini mereka sudah hilang? Pandangan aku melebar
untuk mencari mereka kerana sudah setengah jam aku menunggu. Jari-jemari aku
penat dimainkan.
Pintu dikuak tiba-tiba. Tepatlah tekaan aku
bahawa merekalah yang sepatutnya mengurus aku.
Aku bangun, memberi salam dan menghulur
tangan untuk bersalam. Perempuan yang menemani lelaki itu cuba menghulur tangan
tetap aku tidak menyambut. Kami sekadar bertukar senyuman untuk membuang
kejanggalan. Dia sepatutnya faham situasi aku berdasarkan resume aku.
Kami, aku dan lelaki itu duduk. Perempuan
itu pula kekal berdiri di sisi. Fail yang dipegang diserahkan kepada lelaki
botak.
Dia berdehem, lelaki itu seraya menangkap
fokus saya.
“Saya Azman. Panggil saya Azman. Ketua
pembangunan manusia di sini. Ini Sarah pembantu saya,” tegas cara
percakapannya. Tiada senyuman meniti. Sarah sahaja yang daripada tadi
tersenyum-senyum.
”Perkenalkan diri awak. Awak, Salim. Betul?”
Aku mengangguk dan mula perkenalkan diri.
Seperti yang sudah berlatih dari malam semalam, aku memperkenalkan diri dengan
lancar. Semua butir peribadi yang gah aku tekankan sedikit. Encik Azman kadang-kadang
mengangguk dan kadang-kadang terkebil-kebil. Tanpa endahkan dia, aku mengakhirinya
perkenalan diri aku hingga selesai.
"Baik, baik. Soalan biasa yang saya
akan tanya, mengapa awak mahu bekerja di sini?" Tanya Encik Azman. "Iyalah,
dengan sijil sarjana muda awal sepatutnya awak tak berada di sini."
Aku tersenyum kerana sudah menjangkakan
soalan itu akan ditanya. "Saya mahu mencari pengalaman bekerja di tempat
begini, mahu merasa susah dan teruk dan paling penting saya percaya visi kedai
tuan untuk menyenangkan manusia."
"Ok. Baik.. baik," balas Encik
Azman. Kemudian menyambung berbisik dengan Sarah. Hingga kini, aku tidak tahu
apa fungsinya Sarah di bilik selain berdiri tersenyum-senyum di sebelah Encik
Azman.
Aku merapatkan diri dan meletakkan tangan di
atas meja.
"Izinkan saya berkata sesuatu."
Kata aku dan menunggu selang izin dari Encik Azman.
"Meski saya ni graduan luar negara,
tidak mustahil untuk kami bekerja di kedai tuan. Kami tidak malu untuk bekerja
di tempat begini walaupun nanti ada mulut-mulut yang bergosip kami adalah
graduan tidak kompiten." Aku menyambung lagi. "Kami tidak kisah demi
sesuap rezeki dan pengalaman."
Suasana menjadi hening. Sarah tidak lagi
tersenyum manakala Encik Azman masih lagi terkebil-kebil.
Azman merapati aku dan berbisik, "tapi
awak lepasan azhar. Sanggup ke awak nak bekerja di sini?"
"Mengapa tidak?"
Encik Azman bersandar semula dan kemudian merapati
aku kembali. Dia berbisik lagi, "Tempat begini kan orang sebut
boikot. Awak tu ustaz. Surau pun jauh dari tempat kerja.”
“Alah Encik Azman, apalah nak dikirakan sangat
apa orang cakap. Biarlah kita nak buat apa asalkan halal. Sebelum kita fikir
boikot ke apa, kita fikir perut kita dulu. Betul Encik Azman?”
Encik Azman dan Sarah berpandangan.
“Selepas ini Sarah akan bawa awak
pusing-pusing tempat ini dan akan menunjukkan tempat kerja awak. insyAllah esok
awak akan bermula dengan menggoreng ayam ya.” Kata Encik Azman. “Awak jangan bawa bom
meletup sudah lah ya.”
Kami bersalaman dan aku terus mengikuti
Sarah meronda kawasan. Bangga rasanya menjadi lepasan al-Azhar pertama berkerja
di McDonald. Esok aku akan bawa semua sijil aku. Mungkin ada peluang untuk aku
naik gaji melihat sijil azhar aku yang berbahasa arab.
Apa salahnya lepasan Azhar bekerja di tempat
begini? Tidak salah bukan?