8/07/2017

Warga Merdeka 60



Ada seorang abang berada di hadapan aku. Tiada apa yang terlalu menarik perhatian. Dia warga asing. Itu kata aku kerana melihat dia kurus-kurus berkulit coklat pekat. Bajunya besar bukan mengikut ukur badannya. Gayanya buruh.
Warga asing, tiada apa yang salah. Jika dia mengukir senyum, aku pasti akan membalas. Iyalah, comot mukanya melihatkan dia penat bekerja. Senyum sesaat dua itu menyenangkan. Tidak begitu?
Sebelah abang itu bertukar-tukar orangnya. Ada cina perempuan berseluar pendek, ada india lelaki yang serupa saja seperti dia berwatak kurus keding dan ada beberapa lagi. Aku tidak beberapa ingat. Hanya kerana dia dan aku menaiki tren yang sama. Stesen paling hujung, maka aku perasan siapa di sebelahnya. 
Abang itu bangun. Menangkap perhatian aku untuk melihat beberapa lagi stesen yang sebelum aku turun. Entah takdir menentukan, kami turun di stesen yang sama. Aku bersedia di pintu keluar tren, belakang abang itu
Laju dia berjalan sedang aku lenggang berjalan di belakang dia. Tidak berniat menapak pantas. Hari ini aku mahu berjalan sekadar-sekadar. Sudahlah memang perlahan, aku perlahankan lagi langkah aku.
Pemalas. Kata aku lagi, merdeka sudah 60 tahun kau masih berjalan perlahan seolah kau tiada agenda pada malam ini. Guru aku dahulu pernah menyebut, jalan nabi laju. Kerana di hadapannya ada tugas dan agenda kerana setiap saat itu amanah. 
Aku setuju semua itu. Namun kaki masih menapak perlahan. Mungkin kerana penat. Mungkin kerana sengaja mahu berjalan ringkas. 
Aku lihat laluan pejalan kaki daripada stesen aku ke tempat keluar. Ianya laluan pejalan kaki jambatan. Untuk menukar stesen perlu seberang. Dua tiga peminta sedekah berada di tepi laluan pejalan kaki. Pemandangan biasa tiada apa yang menarik perhatian. Mereka tidak diendahkan dan tidak pula diherdik. Satu dua orang saja yang sudi menghulur seringgit dua. 
Aku senyum-senyum saja. Iyalah duit di poket sendiri pun malu-malu kucing. Inikan mahu memberi pada orang lain. Hak sendiri pun cukup tidak cukup. Ini pula mahu fikir poket orang lain. 
Lagipun, apa kata peminta sedekah lain jika aku memberi hanya seorang. Jika diberi pilihan aku akan beri pada abang yang bermain alat musik. Ada gaya, sedikit kreatif. 
Tetapi apa pula pada ibu bersama anak dua orangnya. Tidak adil. Aku tidak beri pada perempuan, malah aku beri pada lelaki yang masih punya kudrat mengikut pandangan kasar aku. Pasti sinis padangan mereka kepada aku kerana memilih. 
Habis, yang sedang membaca yasin di sebelah lift itu bagaimana?Aku senyum-senyum lagi sambil melalui laluan pejalan kaki. Tindakan aku rasional dari pelbagai sudut. Kali ini aku tidak menderma. Peluang lain dengan izin Tuhan.  
Tiang-tiang jambatan dihiasi bunting merdeka 60 tahun. Ogos bulan merdeka. Saat kita memandang ke belakang melihat sejarah untuk maju ke hadapan. Namun apa yang terlihat? Peminta sedekah di bawah bunting itu.Mereka sukar, ya semua orang punyai situasi hidup. Namun 60 tahun rasanya sudah cukup untuk kita hentikan peminta sedekah dan gelandangan.
Abang serupa warga asing yang aku lihat sebentar tadi sedang menundukkan badan memberi wang kepada ibu yang bersamanya dua anak kecil. Tiada apa yang salah jika abang itu mahu menghulur bantuan. Mungkin sahaja dari pandangan fizikalnya sahaja dia seperti buruh atau orang susah. Tetapi boleh jadi dia mempunyai wang cukup.Boleh jadi dia bukan warga asing. Hanya aku yang silap. 
Seorang warga asing atau apa saja watak abang itu jelas mengharukan hati. Aku senyum sendiri.
 Bagus sekali abang itu. Ibu itu sudah tidak bermaya. Memang tepat pilihannya untuk membantu. Dia ambil lagi duit dari koceknya dari poket belakang dan memberi kepada abang yang bermain alat musik. Boleh jadi dia teringat kawannya di indonesia yang bekerja pemusik. Rindu barangkali. Kemudian si pembaca yasin juga dihulurnya. Juga seorang lagi lelaki kudung di hadapan peminta bermain musik.
Seperti tiada apa yang berlaku. Dia memasukkan duit ke dalam tabung semua peminta sedekah di situ. Aku kembali memandang belakang. Mengira berapakah bilangan peminta sedekah di sepanjang lorong yang aku lewati tadi. Aku kira lima dan aku congak lagi. Paling kurang lima ringgit dan boleh jadi sepuluh ringgit yang abang itu hulur.
Dia sudah hilang dari pandangan. Sudah menuruni tangga ke bawah menuju ke stesen pertukaran atau keluar menuju ke rumahnya. Atau ke mana saja yang ditujunya. Aku memanjangkan leher mencari abang tadi saat tiba di tangga. Bukan mahu menemu bual, mengambil nombor telefon atau dibuat teman. Aku hanya mahu melihat kembali mukanya yang comot namun aku yakin menunjukkan reaksi kepuasan. 
Mata aku tidak jumpa. Sebaliknya aku menangkap bunyi siulan musik peminta sedekah. bermain musik mencari warga merdeka yang mahu menyumbang lagi. Musik itu indah, lebih indah jika dapat melihat muka abang itu buat kali terakhir. Tetapi tidak mengapalah, aku hayati sajalah dalam kepala aku lagak warga merdeka. 
Ya, abang itu warga merdeka kerana dia bebas dari belenggu poketnya. 
Aku berjalan lagi, masih dengan kadar langkah yang perlahan. Aku sememangnya perlahan, perlahan dari semangat merdeka 60 tahun, perlahan dari merdeka memikirkan kocek sendiri. Menduga sendiri, siapakah yang sebenarnya merdeka. 


Seorang penuntut di Universiti Al-Azhar, Mesir. Suka menulis cerita pendek dan kontot demi memandaikan ummah.