![]() |
hijabistah! |
Amira segera menerkup
mulutnya yang terlopong. Mahu sahaja dia menjerit apabila melihat sebuah tubuh
di hadapanya, seorang kawan yang sudah sekian lama tidak dijumpainya. Cuma
teringat dia di khalayak, tidak sampai hasratnya mahu menjerit.
"Kenapa Amira? kau
macam jumpa dengan hantu je"
"Gila kau!"
Amira seperti mahu menjerit lagi. "Ini lebih dari jumpa hantu kau
tau."
Pecah ketawa mereka namun
Farah masih mengawal malu dirinya, tidak berdekah-dekah seperti dahulu. Kecoh
mereka bertanya khabar, bertukar soalan sepanjang tempoh mereka tidak bertemu. Amira
perasan perubahan diri kawan karibnya bukan setakat perubahan fizikal atau
luaran. Namun secara dalaman seperti ada aura entah apa dari Farah.
"Sejak bila kau
begini?" Amira laju bertanya. Banyak soalan yang mahu diaju kepada Farah.
“Begini?”
“Sejak dari rambut kau
yang panjang mengurai hingga kau ada benda yang sedang tutup kepala kau
sekarang.. bila?”
“Oh” Farah pura-pura.
"Alhamdulillah, dua bulan"
Amira mendengar jawapan
sambil merasa-rasa kain tudung yang dipakai Farah. Farah hanya tersenyum
melihat tindakan Amira. Sengaja dia tidak mahu memberitahu kawannya yang dia
sudah bertudung. Sengaja mahu melihat reaksi Amira yang terkejut beruk.
"Aku beli ini murah,
Amira. Bukan berjenama di kedai-kedai mahal."
"Bukan Ariani ke
Fareeda ke apa yang banyak-banyak di instagram dan facebook?"
Farah cepat memotong.
".. Pasar malam je amira, tak sanggup nak beli yang mahal-mahal"
"Pasar malam?"
Farah angguk.
"Tak semua tudung di
Ariani sahaja, Amira. Pasar malam pun tudung juga.."
Kedua-dua mereka
tersenyum. Amira teringat bagaimana Farah yang dahulu, Farah yang gemar membeli
belah di pasaraya mahal. Kini Farah berubah kepada seorang gadis yang berhijab,
nampak semakin ayu dan malu. Amira terkenang-kenang Farah yang dahulu dan farah
yang sekarang sepanjang perbualan. Sayup-sayup Farah yang lama hilang diganti
dengan Farah yang baharu di hadapannya.
Seperti berbual dengan
manusia yang lain pula. Janggal.
Jauh mereka berbual
hingga menyentuh ‘sejarah hijrah’ Farah, bagaimana dia boleh berubah hingga
jadi begini. Panjang Farah menceritakan detik perubahan, dan sekali sekala
terdengar gelak ketawa mereka. Mungkin ada detik-detik lucu sepanjang proses
penghijaban.
“Sebab aku lihat di medan
sosial, banyak sangat perempuan yang bertudung dengan tudung yang mahal-mahal,
yang penuh gambar selfie.. aku jadi skeptik melihat wanita bertudung.” Kata
Amira.
“Aku tak salahkan kau dan
ya.. Aku juga tak salahkan mereka.” Balas Farah.
"Mungkin ramai yang
bertudung kerana Ariani atau manik-manik Swarovski, atau ingin tidak terlambat
mengikut trend Naelofar.. Tapi itu tidak cukup kerana mungkin mereka tersilap
dalam urutan sebenar dalam berhijab..”
“Urutan berhijab? Seperti
dalam video tutorial di Youtube?” soal Farah.
Farah menggeleng.
“Yang aku maksudkan
adalah urutan apa yang perlu dihijab dahulu..” Farah menjawab. “yang pertama
sekali yang perlu dihijab adalah hati dan diri kau. Barulah kemudian dipakainya
tudung. Bukan mengambil tudung dahulu, tetapi hati tidak terhijab..”
"…Dan hati tidak
perlukan Ariani atau Aidijuma, Amira."
Amira mengangguk-angguk.
Melihat Amira yang sudi mendengar lagi, Farah menyambung.
“Merisaukan lagi, ianya
menjadi fitnah kepada mereka yang mahu bertudung, kerana seolah menjadi
keperluan pula untuk memakai tudung yang berjenama. Kadang-kadang sudah manis
bertudung, tetapi sakan pula selfie…”
Terlopong lagi Amira.
Panjang pula khutbah kawannya
"Sudah, Aku bukan
hantu, masih lagi manusia, masih lagi kawan kau"
“Kalau betul kawan, nanti
teman aku pergi pasar malam ya. Tak sabar nak beli belah!"