10/20/2014

Engkaulah Harapan

Tags




Saya adalah seorang insan yang bagi saya adalah insan yang bersyukur. Allah memberi peluang kepada semua manusia secara sama rata, ada yang itu dan ini, dan kerap manusia tidak nampak perkara ini sebagai satu yang positif. Kerana satu sebab yang saya yakini, hanya Tuhan yang tahu rahsia ‘Adil’ pada dunia ini. Segelintir yang positif minda dan kuat imannya mungkin boleh memandang dari sudut ‘rahsia adil’ ini, namun masih, Tuhan yang Maha Tahu

Abang yang sedang duduk di hadapan saya ini, saya amati. Dia berkulit cerah ala-ala cina dan mempunyai rambut yang jarang. Anak yang berada di ribanya juga kelihatan sama, mengikut rupa ayahnya namun kelihatan campuran melayu kerana matanya yang bulat tidak sepet seperti ayahnya.

Bagi saya, itu sudah cukup adil dengan botaknya. Dia botak namun kerjayanya sebagai jurutera sudah boleh membuatkan dia berasa untung dengan ‘keadilan’ dunia. Apalah sangat bala sebagai seorang yang botak jika duit di poket tebal hasil kerjayanya sebegai seorang jurutera?

“Untung betul jadi kamu. Abang kalau boleh tak mahu kerjaya jurutera ini. Kalau abang boleh ubah hidup abang ke belakang, abang ingin jadi seperti kamu” Kata abang itu bersungguh. Kontra dengan apa yang saya fikir.

Saya perhati anakanya kembali yang sudah tiada di riba ayahnya. Sedang gembira berlari-lari di persekitaran masjid. Takut pula saya melihat anak kecil itu yang berlari di tepi kolam kecil di masjid besi ini. Sambil itu sempat juga dia mengacau orang lain yang bertilawah al-Quran. Oleh sebab kecomelannya, jadi orang ramai endah tidak endah sahaja, malah cuba mengusiknya kembali. Sekian lama saya tidak pulang ke Malaysia terasa pelik pula melihat perubahan kuantiti mereka yang iktikaf di masjid.

“Kalau orang lain habis ulang tilawan al-Quran tiga empat kali, abang baru nak habiskan sekali. Itu baru nak baca, belum nak hafal, belum nak faham, nak rasa setiap perkataan kalimah Allah ini. Kalau begitu gamakna bagaimana mahu jadi muslim yang sempurna jika dengan al-Quran pun tidak akrab?”

Saya menanti setiap tutur dibutirkannya. Setiap butir itu memang ikhlas yang serasa saya dipendam lama perasaan itu.

“…Bagaimana mahu masuk syurga jika diri dan al-Quran tidak selesai. Jauh sekali!”

Saya tidak mahu respon panjang meskipun saya mempunyai hujah untuk menyelesaikan kemelut abang ini. Cuma saya terpegun dengan beberapa perkara.

Pertama, cara dia mengaitkan al-Quran dengan nilai diri seorang muslim. Kedua, dia boleh merasa peranan bahasa Arab hinggalah ke Mesir jauhnya.

“…Selain anak abang, saya boleh ajar abang jika abang mahu. Saya lihat, abang bukan tidak pandai lansung membaca al-Quran. Malah ada kawan saya yang jurutera lancar bacaanya. Malah kelunakan lebih dari mereka, ustaz-ustaz Mesir…” Saya cuba menenangkan perasaan dia. Apa lagi dalam keadaan yang lebih saya lakukan selain berbuat begitu?

“tidak mengapalah, abang pun dah tua..”

Saya mengangguk sekadar

“eh, kamu di Mesir mesti banyak bertalaqi dengan syekh kan. Pagi kelas di Azhar, petang talaqi dengan syekh yang terbilang banyaknya. Malam pula dengan usrah dan projek. Hujung minggu pula dengan program dan daurah. Mesti penat ya kamu dia sana?” dia menukat topik perbincangan.

Saya terbeliak dengan soalan dan pandangan abang jurutera itu. Tidak sengaja pula menggaru pipi yang tidak gatal. Cuma menggosok peluh kecil yang hampir keluar. Terdengar dia membisik “kalaulah aku ada peluang ke Mesir dahulu”

“tapi… mana abang tahu kami begitu?”

“abang agak-agak. bukan senang dapat pergi Mesir”

“…”

“Kenapa. Salah?

Saya berfikir untuk jawapan itu.

‘abang, saya tidak pernah pergi talaqi, kelas pun jarang-jarang’ bukanlah jawapan yang baik. Atau ‘tak sempat bang, jadual saya penuh dengan usrah’ juga bukan jawapan yang baik. Apatah lagi ‘Mesir ni semua benda ada bang. Kalau bisnes, boleh jadi jutawan’

“Mungkin sebab Mesir ni ramai yang datang, jadi kepelbagaian jenis mahasiswa ada di Mesir. Kalau abang belum tahu, ada lebih kurang 10,000 mahasiswa di Mesir. Lagi ramai, lagi banyak jenisnya”

“Maksudnya?”

“Maksudnya ada yang rajin ke kelas, ada yang rajin ke talaqi, ada yang kuat bisnes, malah tentu sekali ada yang kuat tidur”

Abang mengecilkan mata. Tidak setuju, tidak faham atau apa saya tidak tahu.

“kenapa?”

Dia menghembus nafas “ya lah. Bukan senang diberi peluang oleh Tuhan untuk belajar mendalami agamanya. Peluang mendekatiNya dengan mudah. Tidur adalah seperti kufur nikmat. Lebih kurang menzalimi diri namanya.

Saya tak mampu berkata apa-apa. Malah sebelum saya tiba di Mesir, saya juga berpendapat begitu. Semua di Mesir adalah malaikat dan ulama. Setiap tutur mereka adalah hadis dan al-Quran. Bersengkang mata menghadam kitab dan talaqi. Dan semua yang idealistik bagi Negara anbiya’ Mesir ini.

“Cuma yang berjaya menggunakan masa memang akan jadi ulama kat Malaysia nanti. Malah dialah pimpin masa depan Malaysia

Saya lihat dia mengangguk. Lega kerana dapat mengembalikan kembali kepercayaan dia terhadap Mesir.

Namun hati saya masih kacau. Melihat sekeliling masjid, memerhati mereka yang lalu-lalang mendengar suara orang berjual beli di bazaar, terasa mereka yang dihantar mengaji di Mesir ibarat dihantar khas oleh Allah untuk belajar, membesar dan diberi masa agar kelak, apabila sudah ranum, menjadi pembantu dan penyelamat di Malaysia. Ini adalah perasaan automatik bagi mereka yang menjejakkan kaki di Mesir.  

Sebagai bakali hero di Malaysia nanti!

Dan hero tida boleh sekadar tidur, membuang masa dan membuat perkara tidak berfaedah. Itu zalim dan tidak berguna namanya.

“Jadi boleh atau tidak kamu mengajar anak saya? Rumah kita dekat, kamu pun lama lagi di Malaysia kan. abang boleh bayar kamu

Hampir lupa kepada soalan yang membuka topik pergi sejauh Mesir. Anak dia yang tadi sibuk berlari entah bila ada di riba ayahnya. Mungkin sebab tidak sanggup menolak pelawaan abang yang sanggup berkongsi kisah peritnya. Ditambah dengan kecomelan anaknya, saya mengangguk setuju.

“dia ada asas, sekarang pun sudah iqra’ tiga. Cuma nak laju sikit…”

Saya menyampuk “.. dan boleh ke Mesir nanti..”

Dia melontar senyuman dan membalas “boleh dia dekat dengan al-Quran lagi, dekat dengan syurga, boleh bawa ummi abi sekali”

Saya pun tidak pernah fikir sejauh itu. Suci sungguh hati budi abang jurutera ini. Alangkah indah jika rasa syukur peluang ke Mesir ada pada semua mahasiswa Mesir.

“Mungkin, ada berpuluh ribu orang lagi yang mahu ke Mesir namun tidak diberi peluang seperti abang ini. Zalim betul jika hobi di Mesir ada bersama bantal dan selimut “ Saya berkata dalam diam.  




Seorang penuntut di Universiti Al-Azhar, Mesir. Suka menulis cerita pendek dan kontot demi memandaikan ummah.