1/30/2015

Komen isu rotan

Tags

Premise saya adalah isu rotan adalah isu persepsi yang salah terhadap Islam.

Seperti juga banyak isu lain dalam islam, semuanya dipersepsikan seolah islam mengajar kekerasan dan seolah juga tiada hikmah dalam mendidik anak. Namun jika diteliti ia akan jadi sebaliknya.
Contoh lain pada persepsi yang salah adalah pada poligami. Bagi orang yang kurang cermat dalam berfikir, maka mereka akan kata Islam tidak adil dalam masalah lelaki dan perempuan. Islam juga tidak mengendahkan perasaan seorang perempuan. Ada juga yang berkata mengapa perempuan tidak boleh kahwin lebih sedangkan lelaki boleh?
Jika diteliti kembali, ini adalah persepsi yang salah. Kerana poligami bertujuan menolong wanita lain seperti yang ditunjukkan sunnah. Malah, lelaki yang poligami juga mesti mencapai syarat adil dan bukan semua lelaki boleh kahwin lebih seorang.

Contoh lain yang saya boleh ambil adalah isu wanita yang dikatakan 'double standard' apabila dikatakan disuruh oleh islam untuk duduk di rumah, mengajar anak dan menjaga rumah tangga. Puak feminisme gemar menghentam dan beriya-iya menyuruh perempuan keluar dari kengkangan lelaki dan menghendak kepada satu taraf yang sama dengan lelaki iaitu sama dari sudut impian dan kerjaya.

Ini juga persepsi yang salah kerana kerana islam malahan meninggikan taraf wanita dengan taraf mendidik generasi. Mendidik anak dengan akhlak islam, mengajar al-Quran bukan satu tahap yang paling mulia?

Tentu sekali mereka yang berada di persepsi yang salah tidak dapat melihat perkara ini. mereka kurang mengkaji, tidak bertanya dan memilih untuk berada di persepsi yang salah.

Contoh lain seperti memukul isteri nusyuz, hak mewarisi, hudud dan lain-lain lagi

Berbalik pada isu rotan, ia bukanlah seperti yang umum bayangkan (baca:persepsikan). Apabila islam menyuruh rotan, maka bukanlah islam hanya menyuruh untuk merotan tanpa menafikan cara lain seperti memuji, memberi hadiah dan lain-lain. Maka cara memukul juga harus diperhalusi dengan tidaklah seperti yang dibayangkan hingga mencederakan.

Sama seperti isu nusyuz, boleh memukul setelah segala proses pendidikan yang baik gagal. Maka sama juga dengan merotan anak.

Yang ingin saya tekankan di sini, adalah masalah persepsi. Apabila ada hadis menyuruh rotan wujud, ramai yang berada di persepsi seolah islam membenarkan secara mutlak kepada si-ayah untuk membantai anaknya tanpa mengambil kira bagaimana sepatutnya dipukul, di mana boleh dipukul, apa yang perlu dibuat sebelum dan selepas dipukul.

Tambah masalah, jika barat yang mengajar kita dalam membuat persepsi. Bukan berpandukan ulama dan mereka yang arif


Seorang penuntut di Universiti Al-Azhar, Mesir. Suka menulis cerita pendek dan kontot demi memandaikan ummah.